12 March 2019
"JANGAN HIPOKRIT... KALAU TIDAK, SIAPA YANG NAK TENGOK DRAMA TU" - A. AIDA
"Ini adalah realiti kehidupan dan tuntutan masa kini. Kenapa nak pertikaikan. Selebriti yang menyelar kenyataan saya itu mungkin tak faham. Mereka kena terima hakikat dan jangan jadi hipokrit. Sebab sememangnya setiap drama semua menggunakan pelakon utama yang mempunyai wajah yang cantik dan tampan.
"Kalau tidak, siapa yang nak tengok drama tu? Bagi saya bakat itu boleh digilap. Tapi rupa itu sangat penting untuk melariskan sesebuah drama," kata penerbit Datuk A. Aida yang dihentam netizen dan rakan artis mempertahankan kenyataannya iaitu rupa paras sangat penting untuk seseorang menjadi pelakon kerana perkara itu adalah realiti kehidupan dan tuntuan masa kini.
Menurut A. Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 48, perkara itu tidak perlu dipertikaikan kerana industri lakonan era kini sememangnya memerlukan pelakon utama yang mempunyai rupa-paras menarik kerana ia adalah 'bisnes'.
A. Aida diminta mengulas mengenai komen beberapa pelakon yang tidak bersetuju dengan komennya iaitu pelakon masa kini yang hadir ke sebuah uji bakat perlu memahami bahawa paras-rupa menjadi pilihan utama untuk diambil sebagai pelakon.
Kenyataan itu dikeluarkan ketika sesi uji bakat lakonan sempena Drama Festival Kuala Lumpur 2019 (DFKL 2019) pada minggu lalu. Kata A. Aida, masih ada banyak lagi program yang disediakan untuk mempertengahkan bakat tanpa memikirkan soal rupa paras seseorang itu.
Klik untuk gambar besar
"Saya mengeluarkan kenyataan berkenaan rupa itu penting berdasarkan pencarian pelakon utama menerusi sesi uji bakat DFKL 2019. Tak ada niat pun nak menghina ciptaan Tuhan.
"Kalau tanya fasal program lain seperti 'Bintang Mencari Bintang' iaitu rancangan bakat yang tidak menekankan paras-rupa, memang saya akan memberi komen perihal mengenai kepentingan bakatlah. Sebab program itu memang berdasarkan bakat.
"Ada sahaja peserta yang hadir di sesi uji bakat itu, saya suruh dia cuba menyertai program lain yang mempertengahkan bakat tanpa menekankan soal rupa," ujarnya.
Dalam pada itu, isteri kepada pelakon Ariff Aziz ini memberitahu dia tidak kisah dengan komen-komen netizen yang mengaitkan wajahnya. Malah, dia sudah menyekat lebih 500 netizen di laman sosialnya kerana tidak mahu mempunyai pengikut yang negatif memberi komen.
"Saya tak kisah pun dengan komen-komen negatif-negatif. Wajah saya tak ada mengena dengan kerjaya lakonan sebabnya saya bukan lagi pelakon tapi penerbit. Sejak semalam, saya dah sekat lebih 500 netizen di laman sosial yang meninggalkan komen negatif. Saya tak mahu dikelilingi dengan orang sebegitu," tuturnya.
Tambah A. Aida lagi, semua pihak harus faham dunia lakonan adalah sebuah bisnes dan stesen televisyen yang menyiarkan sesebuah drama itu mengharapkan ada periklanan dalam produk mereka.
Justeru, selain bakat lakonan, pihak stesen menekankan juga soal-rupa paras seseorang pelakon kerana ia boleh menarik jumlah tontonan atau rating yang seterusnya menyumbang kepada pendapatan iklan.
Jika rating baik, stesen mempunyai sumber pendapatan lebih dan hasil daripada itulah akan dibayar kepada sesebuah syarikat produksi.
"Ia adalah hakikat sebenarnya dunia lakonan di negara ini sekarang. Janganlah nak bandingkan dengan Hollywood atau Bollywood kerana mereka corak pemikiran penonton mereka berbeza dengan kita," ujarnya.
www.myartis.com / Sumber: mStar
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment