06 March 2019

PEMILIK TWITTER BERSEMBUNYI - MISHA SUDAH MAAFKAN, ANGGAP KES SELESAI


Mengulas perkembangan isu fitnah membabitkan sihir untuk meraih kemenangan dalam Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) menerusi lagu 'Sampai Bila' dan hangat diperkatakan ramai sebelum ini, penyanyi Misha Omar berkata, dia juga tidak merancang untuk membuat laporan polis secara berasingan khusus kepada pemilik akaun Twitter yang dikenali sebagai 'Penumpah Teh' itu.





"Saya tidak bercadang untuk mengambil tindakan kepada seorang pemilik akaun Twitter yang masih bersembunyi itu. Saya juga sudah memaafkannya dan anggap kes ini sudah selesai.

"Saya tidak mahu buat laporan polis khusus untuk pemilik akaun yang masih bersembunyi itu kerana tidak mahu memanjangkan lagi kes ini.

"Bagi saya pemilik akaun terbabit tidak dapat menerima hakikat dirinya bersalah sebab itu dia memadamkan akaun miliknya dan menyembunyikan diri," ujarnya.

Apa yang penting katanya, dia membawa kes fitnah membabitkan dirinya ke depan kerana memenuhi tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat.

Klik untuk gambar besar


"Kes fitnah ini juga berjaya menyampaikan mesejnya kepada masyarakat iaitu jangan membuat fitnah tanpa kita sedar," katanya.

Misha juga menganggap permohonan maaf secara terbuka daripada dua individu terbabit dalam kes fitnahnya itu adalah satu rahmat.

Dua individu terbabit iaitu Fairuz Azwan Akhir Sepian, 32, dan Ahmad Azhar Aziz, 27, sudah membuat permohonan maaf pada sidang media sebelum ini. Pada masa sama, Misha juga meminta supaya warganet memberi komen atau menegur dengan cara yang lebih berhemah.

"Bagi saya, mereka adalah hero kerana berani tampil ke depan dan memohon maaf kesalahan dilakukan. Sebagai artis, saya memang tidak suka dengan kecaman warganet. Saya harap warganet beri komen yang membina di ruangan komen di akaun media sosial artis," tuturnya.



Terdahulu, Misha mengadakan sidang media memberi peringatan kepada beberapa individu yang menuduhnya menggunakan sihir untuk bersemuka dengannya dalam tempoh tujuh hari atau berdepan tindakan susulan.

Menurutnya, penyebaran status di laman Twitter yang mengaitkannya dengan perbuatan khurafat mencalarkan reputasi dirinya dan kerja keras sepanjang 17 tahun dalam bidang seni suara.

Komen keterlaluan itu sengaja dicetuskan pihak tertentu susulan kejayaannya pada malam kemuncak AJL 33 yang berlangsung 3 Februari lalu.

Susulan itu Misha membuat dua laporan polis, masing-masing di Balai Polis Kota Damansara dan Balai Polis Salak Selatan.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: