06 March 2019

"ANDAI ADA JODOH, KAMI PASTI BERSATU" - SHAHIR AKUI KINI SEDANG SIBUK


Hubungan pelakon Erra Fazira dan penyanyi Shahir Zawawi kembali diperkatakan apabila Erra pada minggu lalu mengakui, sukar untuk dia menjelaskan kedudukannya kerana masih kabur dengan hala tuju hubungan bersama jejaka itu.





Jadi atau tidak? Persoalan itu terus membelenggu peminat Erra dan juara Akademi Fantasia musim ke-8 (AF8) itu yang ingin melihat pasangan itu bersatu di jenjang pelamin.

Diperkukuhkan lagi apabila Shahir yang dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp ketika ditanya mengenai perkara itu hanya memberikan jawapan klise.

"Jika jodoh tidak ke mana. Hanya itu jawapan paling ikhlas yang dapat saya berikan. Mungkin kedengaran klise, tetapi insya-Allah, andai ada jodoh, kami pasti bersatu," katanya.

Ditanya hubungannya dengan Erra, Shahir yang popular dengan lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan berkata, mereka masih baik, walaupun jarang bertemu.

Klik untuk gambar besar


"Saya sibuk dengan kerja, jadi kami jarang dapat jumpa. Erra faham situasi saya kerana masing-masing mempunyai urusan yang perlu diselesaikan," jelasnya.

Shahir berkata, meskipun tidak terlalu aktif dengan kerjaya seni, jadualnya tetap padat kerana sentiasa berada di luar daerah.

"Sebelum ini, saya agak sibuk menguruskan majlis perkahwinan adik. Sebagai abang, saya perlu membantu untuk melicinkan perjalanan majlis.

"Saya juga sudah lama tidak aktif di laman sosial. Jadi, mungkin itu yang menyebabkan peminat beranggapan, saya sudah menyepi dari industri hiburan," ujarnya.



Shahir berkata, dia sedang menyusun perancangan untuk merakamkan lagu baharu selepas semua urusan kerjanya selesai.

"Memang saya ada niat untuk keluar dengan lagu baharu, malah sedang memilih lagu yang sesuai untuk dirakamkan. Insya-Allah, jika sudah bertemu lagu yang berkenan, saya akan kembali ke studio rakaman," tuturnya.

Terdahulu, Erra ketika ditemui pada sidang media program realiti terbaru, Miss Lawak, baru-baru ini mengakui, selagi belum bertemu 'tapak' yang kukuh, dia enggan memperjudikan diri membina 'rumah' baharu.

"Buat masa ini, saya hanya mengikut arus takdir. Saya lebih selesa kukuhkan 'tapak' terlebih dulu, sebelum membina apa-apa," katanya.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: