06 March 2019

KOS RAWATAN PEMBEDAHAN JANTUNG ANAK - YAZIT PERLU SEKITAR RM40K


Bekas pemain dram kumpulan Search, Yazit Ahmad, 57, memberitahu dia terpaksa menjual kereta kepunyaan sendiri dan anak sebagai ikhtiarnya mencari wang untuk membiayai kos rawatan pembedahan jantung anak keduanya, Shahmirnuri atau Boy, 34.





Bagaimanapun kata Yazit, ia tidak mencukupi apabila anaknya itu secara tiba-tiba mengadu sesak nafas sedangkan dia tidak mempunyai sebarang penyakit sebelum ini.

"Nak buat macam mana lagi? Saya ambil keputusan jual dua kereta kepunyaan sendiri dan anak tapi berapa sen sangatlah yang dapat. Dalam seminggu, saya tengok keadaannya semakin teruk dan terus membawanya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Doktor buat pemeriksaan dan mengesahkan jantungnya bengkak. Boy dirawat di HKL selama seminggu sebelum dipindahkan ke Hospital Serdang kerana di situ ada pakar jantung.

"Doktor beritahu jantungnya perlu dimasukkan bateri dan saya kena sediakan kos sekitar RM40,000 untuk pembedahan," jelasnya.

Menurutnya, dia buntu mencari wang sebanyak itu dan meminta bantuan rakan menularkan cerita berkenaan di laman sosial.

"Mereka akur dan bantu saya, tapi senyap saja serta tiada respon daripada masyarakat. Mana orang ada duit untuk bantu dalam keadaan sekarang.

"Setakat ini saya belum mengajukan perkara ini kepada mana-mana persatuan artis dan bercadang berjumpa Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah air (YKAT) Datuk DJ Dave untuk meminta bantuan.

"Saya juga berusaha mendapatkan bantuan Baitulmal dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk mencari wang bagi tujuan ini," katanya.

Nasib Yazit ibarat sudah jatuh ditimpa tangga kerana dirinya juga uzur akibat masalah buah pinggang dan memerlukan kos yang tinggi untuk rawatan dialisis.

Penyakit yang dideritai itu sekali gus membataskan pergerakannya untuk mencari pendapatan buat keluarga. Yazit berkata, Boy bekerja sendiri dan sebelum ini tinggal berasingan daripada mereka.

"Dia baru saja tinggal bersama kami. Tak sampai enam bulan, dia tiba-tiba jatuh sakit. Ketika zaman kanak-kanak, kesihatannya baik tanpa sebarang masalah," tuturnya.

Selain Boy, Yazit dan isterinya, Ramlah Ahmad, 59, turut mempunyai dua anak perempuan iaitu Razilah, 38, dan Shafiqa Nurlis, 29.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: