29 March 2019

PERNIKAHAN DENGAN PACHARA APIN - AFIQ MUIZ TIADA NIAT RAHSIAKAN


Pada Selasa lalu, pelakon Afiq Muiz telah selamat bergelar suami kepada pelakon baharu, Pachara Apin atau nama Islamnya, Nur Aaira Mahdeya. Majlis pernikahan mereka yang berlangsung secara sederhana di sebuah masjid di Bangi, Selangor, itu bebas daripada sebarang liputan media.





Pernikahan Afiq mula diperkatakan ramai apabila pelakon drama, 'Jodoh-Jodoh Anissa' itu berkongsi foto hari bahagianya dalam Instagram, sehari selepas sah bergelar suami kepada Pachara. Pasangan itu kelihatan manis menggayakan pakaian sedondon berwarna krim lembut.

Berita perkahwinan mereka nyata mengejutkan ramai, memandangkan Afiq tidak pernah berkongsi hal peribadinya kepada umum. Menariknya, ramai melahirkan kagum dengan kesediaan Afiq untuk memperisterikan seorang saudara baharu Islam dan mendoakan agar perkahwinan mereka berkekalan sampai ke akhir hayat.

Ditanya mengapa tiada langsung jemputan kepada media untuk melakukan liputan pada majlis pernikahannya, Afiq berkata yang dia mempunyai sebab berbuat demikian tetapi pada masa sama tiada niat nak rahsiakan.

Klik untuk gambar besar


"Alhamdulillah. Sebenarnya tiada niat untuk saya merahsiakan perkahwinan ini. Majlis pernikahan hanya dihadiri keluarga dan kenalan terdekat. Majlis tersebut dirahsiakan atas permintaan ibu saya sendiri yang tidak mahu perkara ini dihebohkan kepada umum.

"Bagaimanapun, saya merancang untuk mengadakan majlis resepsi tidak lama lagi. Tarikhnya belum tahu dan apa yang pasti saya akan jemput media apabila resepsi itu berlangsung. Tidak banyak yang ingin saya hebohkan kerana apa yang penting sekarang, saya sudah selamat bergelar suami kepada isteri saya dan mengharapkan doa yang baik-baik daripada orang ramai," jelasnya.

Dalam pada itu, Afiq memberitahu dia terpikat dengan Pachara sehingga mengambil keputusan untuk memperisterikannya kerana isterinya itu seorang penyayang dan bijak, malah mempunyai banyak persamaan.

"Dia sangat penyayang dan bijak, malah kami mempunyai banyak persamaan. Mungkin itu yang dikatakan jodoh. Sejurus selesai dinikahkan, ketika bersalam dengan ibu, saya tidak dapat menahan air mata. Ketika itu, saya terfikir tanggungjawab baharu yang akan dipikul.



"Di bahu saya kini tergalas tanggungjawab berat untuk menerajui dan memimpin keluarga. Saya percaya, setiap lelaki mempunyai perasaan sama apabila selesai diijabkabulkan. Doakan kebahagiaan perkahwinan kami hingga akhir hayat.

Mungkin ada yang musykil pernikahan berlangsung secara tiba-tiba, Afiq telah diminta kongsikan detik perkenalannya dengan isterinya.

"Kami berkenalan pada Mac tahun lalu. Ketika itu, saya bawa watak hero manakala Pachara watak antagonis untuk drama Air Mata Syurga. Selepas pertemuan kedua, saya terus melamarnya untuk dijadikan sebagai isteri kerana nekad tidak mahu tunggu lama-lama.



"Saya mahu serius dalam perhubungan dan tidak mahu membuang atau melengah-lengahkan masa. Alhamdulillah, doakan perjalanan saya bergelar suami dipermudahkan dan mampu menjadi imam buat isteri serta membimbingnya ke arah yang diredai Allah," kongsinya.

Dalam perkembangan lain, pelakon drama 'Memori Cinta Suraya' itu disoal pula mengenai kerjaya lakonannya dan isteri selepas ini.

"Karier akan berjalan seperti biasa. Dia bebas untuk mengejar cita-citanya dalam bidang lakonan, begitu juga saya asalkan akur dengan batas-batas apabila sudah bergelar suami dan isteri.

"Saya tidak akan menghalangnya untuk terus bergelar pelakon. Saya juga akan tetap berlakon kerana ini juga merupakan salah satu punca pendapatan.


www.myartis.com / Sumber: Kosmo


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: