15 March 2019
TAHNIAH - ANAK AZIAN MAZWAN SAPUWAN PEROLEH 7A DALAM SPM
Mengakui terlalu gembira dengan kejayaan anak kelimanya, Mohammad Amil Zulkarnain Mohammad Ahrar Zulkarnain yang memperoleh 7A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), penyanyi era 80-an Azian Mazwan Sapuwan, 44, berkata Amil yang belajar di Sekolah Menengah Putrajaya Presint 16(1) sangat aktif dalam sukan kapal layar.
"Alhamdulillah Amil dapat 7A, 1B dan 1C. Sepanjang hari ini saya tak berhenti senyum kerana terlalu gembira dengan kejayaan yang dikecapi. Dia layak dapat keputusan ini kerana saya nampak depan mata kegigihannya belajar.
"Menjelang SPM, dia mula perlahankan aktiviti bersukan dan fokus belajar. Siang dan malam saya tak kisah hantar ke mana dia nak pergi belajar.
"Saya kagum dengan Amil kerana dia tak pergi tuisyen luar disebabkan jadual pembelajaran yang gurunya buat setiap hari sudah padat. Sabtu dan Ahad pun dia akan pergi sekolah untuk belajar. Jika tiada guru, dia akan sertai kumpulan belajar dengan kawan," katanya.
Azian yang pernah menyertai program nyanyian Gegar Vaganza 2 (GV2) berkata, Amil seorang yang pendiam ketika di sekolah. Mengulas perancangan seterusnya, Azian berkata, dia menyerahkan kepada anaknya untuk membuat pilihan. Menurutnya lagi, dia melihat Amil mempunyai minat dalam sains sukan dan kejuruteraan.
Klik untuk gambar besar
"Kawan pun terkejut dengan kejayaannya dan menyifatkan dia sebagai diam-diam berisi. Pencapaian pelajarannya dari tingkatan satu hingga tingkatan tiga amat sederhana. Ketika di tingkatan empat barulah nampak kesungguhannya belajar.
"Amil memang rapat dengan saya dan apa saja perkara mesti akan dirujuk kepada saya.Dia selalunya akan minta nasihat saya. Dia suka kongsi sesuatu perkara dengan saya. Kadangkala saya kena buat-buat tahu berkenaan sesuatu perkara. Saya nak dia sambung belajar dalam bidang yang disukainya.
"Kawan belajar dia ramai dapat keputusan 7A dan mereka boleh berbincang nak belajar dalam bidang apa. Terserah kepadanya untuk buat pilihan terbaik. Saya nak dia belajar tanpa perlu buat apa-apa dan biarlah saya dengan suami yang cari wang. Saya pun sebenarnya tak janjikan apa-apa hadiah buatnya dan dia juga tak minta apa-apa.
"Tapi sudah tentulah saya akan bagi hadiah istimewa buatnya nanti," ujarnya yang turut berkongsi kegembiraan itu di Facebook dan mendapat ucapan tahniah daripada peminat dan mengakui tidak membezakan kasih sayang terhadap tujuh anaknya.
www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Azian Mazwan Sapuwan
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment