27 March 2019

TAHNIAH - MAC RUHAYU SELAMAT NIKAH KALI KEDUA


"Tiada kata dapat saya luahkan selain rasa syukur kerana tidak pernah menyangka akan kembali bergelar isteri selepas 13 tahun bergelar ibu tunggal.





"Segalanya berlaku dalam tempoh singkat apabila suami yang juga saudara daripada sebelah arwah ayah melamar kira-kira dua minggu lalu," tutur penyanyi Mac Ruhayu Mohd Noor, 44, yang telah selamat bernikah buat kali kedua.

Mac yang popular dengan lagu 'Ditakdir Kita Bersama' itu menjadi isteri kepada Sulaiman Mohamed, 54, di Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Selangor, Kuala Kubu Baru, tepat jam 11.45 pagi, hari ini.

Dalam majlis pernikahan tersebut, Mac menerima mas kahwin RM300, sebentuk cincin, jam tangan berjenama dan senaskhah al-Quran.

Lebih membuatkan penyanyi yang baru muncul dengan lagu 'Moga Kau Mengerti' terharu adalah semua ahli keluarganya dari Sarawak dan Rawang bertungkus-lumus membantu memudahkan urusan pernikahan mereka sejak seminggu lalu.

Pada majlis yang diadakan secara tertutup hari ini, selain ahli keluarga dan rakan, beberapa rakan artis era 1990-an antaranya komposer Belle Fatah, Adilla Idris, Norlie Tamam dan Taty Ismail, turut hadir menjadi saksi hari bahagianya.

"Ini juga adalah sejarah dalam keluarga kami kerana ia penyatuan ahli keluarga keturunan Bangkahulu dari sebelah arwah ayah yang menetap di Rawang," katanya.

Dalam pada itu, Mac turut mendedahkan suami tidak menghalangnya untuk terus menyanyi dan mengusahakan perniagaan kek lapis Sarawak walaupun selepas bergelar isteri.

Untuk makluman, perkahwinan pertama anak kepada penyanyi era 1970-an, Rukayah Shukri dengan seorang ahli perniagaan berasal Sarawak dikurniakan empat anak lelaki yang kini berusia 15 hingga 24 tahun.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: