28 March 2019

"RASA BERSALAH, RALAT SELAGI ISU TAK SELESAI" - FATTAH AMIN NAFI TIPU, ANIAYA


Pelakon dan penyanyi Fattah Amin sebelum ini terpalit dengan dakwaan seakan menipu duit peminat apabila salah seorang agen produk MRP Sup DIET & Berrytox yang diusahakan oleh beliau dibawah syarikat miliknya, MRP International Sdn Bhd mengeluh, produk mereka tidak dapat dijual gara-gara Fattah tidak lagi aktif mempromosikan produk makanan kesihatan itu.





Pelbagai spekulasi mula tercetus, siapa yang benar dan siapa pula yang bersalah? Enggan berdiam diri, Fattah menerusi satu sidang media khas yang diadakan semalam itu menjelaskan beliau sama sekali tidak terlibat berhubung kes penipuan tentang produk tersebut.

Kata Fattah, kira-kira 80 stokis yang menjual produk kesihatan itu sebenarnya ditipu oleh rakan kongsinya yang kini sudah melarikan diri. Fattah dihimpit dengan rasa bersalah teramat sangat namun beliau gagal untuk menghubungi rakannya itu yang bertanggungjawab terhadap operasi MPR International Sdn Bhd.

"Saya rasa bersalah, ralat dan tidak dapat tidur selagi isu ini tidak dapat diselesaikan. Apabila saya mendapat tahu perkara ini hujung tahun lepas, saya cuba hubungi rakan kongsi saya bagi mendapatkan penjelasan, tapi usaha itu gagal. Jadi dalam isu ini, saya seorang selebriti saya yang terkena tempias dan semua orang akan cari saya," katanya.

Klik untuk gambar besar


Fattah berkata demikian pada sidang media khas di Universal Music Malaysia bersama peguamnya, Fakhrul Azman Abu Hasan. Menurut Fattah yang tampil menjelaskan kepada media berkaitan isu viral di antara dirinya dan syarikat MRP International Sdn Bhd (MRP), dia tidak pernah bersekongkol atau berniat menipu pihak stokis.

"Ramai yang tidak tahu bahawa hanya rakan kongsi saya, Encik Kamarul mempunyai akses dan mengawal sistem kredit dan sistem akaun syarikat secara langsung. Saya menegaskan bahawa tidak pernah bersekongkol atau berniat menipu pihak stokis.

"Saya sendiri sudah beberapa kali cuba menghubungi Encik Kamarul supaya memberi akses kepada saya untuk meniliti perjalanan wang syarikat namun gagal mendapat sebarang tindak balas. Oleh yang demikian bagi menjaga nama baik, saya telah melantik peguam rasmi, Encik Fakhrul Azman Abu Hasan bagi membantu menyiasat dan menangani perkara ini.

"Pada 13 Februari 2019, Encik Fakhrul telah pun menghantar notis kepada Encik Kamarul supaya membenarkan pihak saya untuk meniliti statement kewangan syarikat dan menjalankan audit yang lebih terperinci. Aduan polis telah pun dibuat pada 8 Mac 2019 di Balai Polis Jalan Dang Wangi selepas disarankan oleh pihak peguam.



"Pihak kami masih tidak menerima sebarang tindak balas dari pihak Encik Kamarul sehingga pagi tadi (semalam). Encik Kamarul ada menghubungi peguam saya untuk menyelesaikan isu ini apabila mengetahui sidang media yang dijalankan hari ini," jelas Fattah.

Tambah suami kepada aktres Fazura, dia berasa ralat apabila hanya namanya sahaja yang terpalit dalam isu ini. Tambah Fattah lagi, dia berharap pihak media dan stokis tidak lagi menuding jari dan menyalahkan dirinya tanpa usul periksa.

"Saya berasa ralat apabila isu ini tersebar di media sosial namun Encik Kamarul mengambil langkah mendiamkan diri. Sebagai satu syarikat, kita kena bersama-sama bertanggungjawab menyelesaikan isu ini," luahnya.



"Ini merupakan usaha saya sendiri bagi menyelesaikan masalah yang terjadi kerana ini sedikit sebanyak mencalarkan nama baik saya. Saya benar-benar terkesan dalam kemelut yang melanda ini dan berharap dapat diselesaikan cara adil dan saksama serta menyerahkan kes ini kepada pihak berkuasa," ujarnya.

Difahamkan, Fattah sudah membuat laporan polis pada 8 Mac lalu di Balai Polis Dang Wangi. Tindakan itu adalah bertujuan untuk membersihkan nama dan imej beliau sebagai seorang selebriti. Fattah sekali lagi menegaskan beliau tidak pernah bersekongkol dengan rakan kongsinya itu.

Isu itu mula diperkatakan apabila e-mel kiriman individu dipercayai ejen MRP mendakwa, produk itu tidak dapat dijual kerana Fattah dikatakan tidak lagi rancak mempromosikannya. Pengirim e-mel itu juga mendakwa, mereka sudah berusaha mendapatkan semula baki wang, namun tidak mendapat maklum balas.

Pelakon filem 'Mat Kilau' itu menerusi peguamnya, Azaine & Fakhrul Advicates & Solicitors berkata, notis sudah dihantar kepada rakan kongsinya pada 13 Februari lalu supaya dia dibenarkan mengakses penyata kewangan syarikat dan menjalankan audit lebih terperinci.


www.myartis.com / Sumber & foto: mStar, Astro Gempak & Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: