02 April 2019

"AKAN KENANG MOMEN MANIS, BIARPUN SEKETIKA" - NABILA HUDA KEGUGURAN


Menerusi laman Instagram, pelakon Nabila Huda telah berkongsi video keterujaan anaknya, Keisha Laila apabila mendapat tahu dirinya hamil. Perkongsian itu menyentuh hati ramai, terutama apabila pelakon Munafik itu memaklumkan, dia keguguran ketika usia kandungannya masih muda.





"Memang sedih apabila dimaklumkan saya keguguran, apatah lagi, saya dan suami, Mohd Izwan Johar sudah hampir empat tahun menanti kehadiran zuriat. Namun, apabila difikirkan semula, lebih baik saya memandang hari depan kerana Allah sebenarnya mahu saya terlebih dahulu menghargai apa yang ada di depan mata.

"Insya-Allah, saya dan suami boleh berusaha lagi. Saya hanya memandang dari sudut positif kerana mungkin Allah mahu berikan dulu ruang untuk saya dan suami terus berbulan madu. Apabila mendapat tahu saya hamil, perasaan bercampur-baur.

"Sudah hampir empat tahun kami menanti saat ini, namun saya diuji apabila mengalami pendarahan teruk. Selepas membuat pemeriksaan, saya dimaklumkan keguguran. Memang sedih, tetapi saya dan suami tetap akan kenang momen manis itu, biarpun hanya seketika," katanya.

Klik untuk gambar besar


Di sebalik kesedihan itu, Tuhan memberikan sedikit kegembiraan buat Nabil apabila memenangi trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-30 (FFM30) menerusi filem 'Makrifat Cinta', Ahad lalu.

"Saya berbangga menjadi sebahagian daripada pemenang pada malam itu. Lebih manis, mereka yang diiktiraf berbakat besar dan wajar dihargai. Saya memang meminati hasil seni dan bakat mereka. Cuma, saya tidak dapat bersama pada malam itu kerana bercuti.

"Melihat suami dan anak menjadi wakil untuk menerima trofi itu membuatkan saya teruja. Alhamdulillah, suami dan anak menjadi saksi kejayaan kerjaya seni saya," ujarnya.

Untuk makluman, Nabila dan Mohd Izwan bernikah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 25 Disember 2015. Terdahulu, menerusi perkahwinan pertama, Nabila dikurniakan seorang anak perempuan, Keisha Laila yang kini berusia sembilan tahun.








www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Nabila Huda


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: