02 April 2019

32 FOTO BIRTHDAY TEMA 'PYJAMAS': "USAHLAH KECAM, BERI SOKONGAN" - EMMA


"Saya tahu, di luar sana ramai yang mahu saya mengikut kehendak mereka supaya berubah dan kembali bertudung. Saya berterima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan yang terbaik.





"Namun, jangan pula saya dikecam apabila masih belum dapat memenuhi harapan dan permintaan mereka. Saya tidak mampu memuaskan hati semua pihak. Saya sedang berusaha untuk menjadi insan yang lebih baik dari masa ke semasa.

"Usahlah mengecam, sebaliknya berikan sokongan dan sebarkan aura positif antara satu sama lain," demikian kata pelakon Emma Maembong yang berkesempatan menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah, baru-baru ini memohon orang ramai supaya memberinya ruang untuk memperbaiki diri.

Emma yang ditemui pada majlis sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-27 anjuran kelab peminatnya itu akur peminat meletak harapan yang tinggi untuk melihatnya berubah, namun dirinya masih belum berupaya memenuhi permintaan mereka.

Klik untuk gambar besar


Hampir empat tahun menyimpan impian dan bersyukur hasrat untuk ke Tanah Suci Makkah menjadi kenyataan, pelakon 'Kimchi Untuk Awak' itu berkata, dia ke sana ditemani bapa dan kakaknya.

"Alhamdulillah, selepas empat tahun, segala perancangan saya ke Tanah Suci Makkah dipermudahkan. Biarpun ada yang meragui niat saya dan bimbang jika belum bersedia, namun saya tetapkan juga hati ke sana," tuturnya.

Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Ismail berkata, hatinya sebak melihat kesungguhan insan yang tidak berdaya, namun bersungguh-sungguh berusaha mencari keredaan Ilahi di sana.



"Saya berharap, mereka yang berkemampuan dan mempunyai kudrat supaya tidak menangguhkan hasrat ke Tanah Suci. Selagi diberikan Allah tubuh badan yang kuat dan sihat, jangan lepaskan peluang itu. Saya ada mendengar pengalaman rakan yang diuji ketika di sana.

"Saya hanya berdoa dan memohon kepada Allah supaya segala urusan dipermudahkan. Saya turut berdoa supaya ayah diberikan kesihatan yang baik supaya dapat menyempurnakan semua tuntutan di sana," ujarnya yang turut berpeluang meraikan hari ulang tahun kelahirannya di Tanah Suci.

Sambutan hari jadi Emma sememangnya cukup meriah dengan bertemakan pyjamas (baju tidur). Majlis yang diadakan di Black Pearl Events, Shah Alam itu turut dihadiri oleh ahli keluarga, rakan-rakan artis serta peminat-peminatnya.

Dalam majlis tersebut, Emma tampil comel dengan baju tidur berwarna merah hati. Turut kelihatan, teman rapatnya Alvin Chong, Aprena Manrose, Ramona Zam Zam dan ramai lagi.Selamat ulang tahun kelahiran kami ucapkan dan semoga segalanya dipermudahkan.




























































www.myartis.com / Sumber: Berita Harian, Rotikaya, Instagram Emma Maembong, @smsleepwear & emanizers


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: