06 April 2019

CUCU HIDAP KANSER - MALEK ZABARJAD TAK MAHU BERGANTUNG, RAYU TAWAR NYANYI


"Ini cucu pertama hasil perkahwinan anak lelaki kedua saya. Kanser ini semakin lama semakin membesar. Ayahnya dulu bekerja di sebuah syarikat perumahan, namun terpaksa berhenti kerja untuk menjaganya. Manakala ibunya bekerja sebagai jururawat.





"Kalau nak dikatakan keluar masuk hospital untuk kemoterapi, rasanya sudah kali keenam. Masuk hospital untuk pemeriksaan pula sudah berbelas kali," kata penyanyi kumpulan Zabarjad, Malek, 50, yang berdepan ujian dimana cucu kesayangannya, Mawar Hananiah Mohd Izat Hakim, 2, menghidap kanser tahap tiga.

Malek atau nama sebenarnya Ab Malek Mohd Amil @ Mohd Amir yang popular menerusi lagu Karam berkata, keceriaan mereka sekeluarga diragut apabila doktor mengesahkan Mawar mempunyai kanser saraf sejak berumur setahun enam bulan. Menurutnya, minggu lalu cucunya dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani proses imbasan.

"Mawar berada di HKL selama lima hari untuk buat imbasan. Apabila balik ke Johor, dimasukkan pula ke Hospital Sultan Ismail untuk proses kemoterapi. Kami baru saja dimaklumkan oleh doktor, kemungkinan besar Mawar akan buat pembedahan di HKL pada hujung bulan ini.

"Setiap proses yang dilalui memerlukan kos dan ia memang membebankan. Kami juga belum pasti kos sebenar untuk pembedahan nanti," jelasnya.

Sebagai usaha untuk mencari dana, Malek bekerjasama dengan beberapa rakan bagi menganjurkan majlis Jamuan Malam Amal Showcase Bantuan Yazit Search & Anak-Anak Kanser yang akan berlangsung di Dewan Jubli Intan, Johor Bahru pada 28 April ini.

"Penganjur bersetuju untuk turut sama meletakkan tabung bantuan cucu saya dalam persembahan yang akan menampilkan barisan artis Malaysia dan Singapura ini," ujarnya.

Malek yang tidak mahu terlalu bergantung harap kepada pihak tertentu, merayu kepada mana-mana penganjur untuk menawarkannya peluang menyanyi.

"Ini antara usaha saya cari wang untuk keperluan cucu. Tak kiralah apa saja acaranya dan di mana pun, saya pasti akan terima.

"Alhamdulillah pada 9 hingga 11 April ini saya diundang menyanyi di Riau, Indonesia bersama Blank Gamma dalam acara Bokor One Night. Saya sentiasa memohon supaya semua pihak memberi ruang memudahkan masalah yang dihadapi," tuturnya.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: