03 April 2019
FINAS TAK TAHU ELEMEN KEJUTAN - ASTRO AKAN BINCANG SEMUA PIHAK
"Saya sudah memeriksa dengan jawatankuasa FINAS dan FFM30 dan mendapati tiada sebarang perbincangan untuk membawa Fattah naik ke pentas sebagai elemen kejutan seperti yang didakwa. Malah, menerusi aturcara perjalanan acara, memang tiada langsung nama Fattah. Sebaliknya mereka yang terbabit hanya Fazura, Datuk Hans Isaac dan Maya Karin.
"Jika apa yang berlaku ini adalah perancangan pihak Astro, mereka harus bertanggungjawab dalam hal ini. Saya mohon mereka dapat memberikan jawapan secara bertulis kerana kami ada bukti mengatakan FINAS memang tidak tahu menahu mengenai elemen kejutan dinyatakan itu," demikian kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri.
Ahmad Idham menafikan dakwaan pihaknya bersetuju menampilkan pelakon Fattah Amin bersama isterinya, aktres Nur Fazura di pentas ketika penyampaian trofi Anugerah Khas Juri, Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM30), Sabtu lalu.
Mengakui terkejut dengan berita tersebar itu, Ahmad Idham memohon penjelasan daripada pihak Astro. Tambahnya, sebagai acara bertaraf nasional, badan penyiar terbabit sepatutnya lebih peka dan tidak melakukan sesuatu mengikut suka hati sehingga mencalarkan reputasi festival berkenaan.
"Stesen terbabit sepatutnya perlu menghormati FINAS kerana kami membayar kos produksi mereka. Setiap keputusan ataupun perubahan, perlu dimaklumkan kerana FFM adalah sebuah majlis berprestij.
"Rasa terkilan juga kerana perjalanan acara yang lancar dan menjadi sohor kini, namun reputasinya tercalar disebabkan kontroversi ini," ujarnya.
Dalam pada itu, Ahmad Idham turut mengharapkan persengketaan antara Hans dan Fazura tidak berlarutan hinggalah laporan lengkap daripada Astro diterima perbadanan terbabit.
Klik untuk gambar besar
"Ia tak sihat untuk industri dan saya rasa mereka mungkin menjadi mangsa permainan pihak tertentu yang mahukan publisiti murahan," tuturnya.
Terdahulu, kontroversi ini tercetus apabila Fazura mendakwa menjadi mangsa fitnah Hans Isaac. Penerbit dan pelakon itu didakwa menuduhnya bersikap tidak profesional dengan menetapkan syarat kepada penganjur supaya membenarkan suaminya menaiki pentas FFM30 untuk menemaninya menyampaikan anugerah.
Kata aktres terbabit, Hans membuat tuduhan melulu itu menerusi aplikasi WhatsApp yang dikirim kepadanya, pagi kelmarin. Sehubungan itu, Fazura meminta supaya Hans memohon maaf kepadanya kerana membuat tuduhan tanpa usul periksa.
Sementara itu, Astro dalam proses perbincangan dengan semua pihak termasuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) berhubung kontroversi kemunculan Fattah Amin bersama Nur Fazura di atas pentas ketika penyampaian trofi Anugerah Khas Juri yang dikatakan elemen kejutan oleh Astro di Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM30), baru-baru ini.
Ketua Bahagian Kandungan Astro, Namanzee Harris berkata, pihaknya sedia maklum mengenai kontroversi itu yang turut membabitkan pelakon dan penerbit, Datuk Hans Isaac dan Finas.
"Selaku stesen penyiar rasmi FFM30, perancangan rapi yang mengambil kira segala kebarangkalian sudah dilakukan demi memastikan kelangsungan program ini. Ini kerana pihak kami mahu bekerjasama dengan semua yang terbabit tanpa ada sebarang prejudis.
"Buat masa ini, kami masih lagi dalam peringkat perbincangan dengan semua yang terbabit termasuklah Finas untuk meneliti semula perkara ini. Kami juga akan mengadakan mesyuarat dengan pihak-pihak terbabit hari ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
www.myartis.com / Sumber: Berita Harian & Harian Metro
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment