17 April 2019

FIZZ FAIRUZ BUAT LAPORAN POLIS, TIADA MAKLUM BALAS


"Saya sudah beri tempoh hingga tengah malam tadi kepada individu terbabit untuk tampil bersemuka. Saya beri masa hingga tengah hari tadi (semalam), namun, tiada maklum balas. Peguam menyarankan saya untuk membuat laporan polis sebagai tindakan lanjut.





"Saya menyerahkan bukti kukuh kepada pihak polis untuk memudahkan siasatan... Kita hanya perlu tunggu dan lihat," kata pelakon Datuk Fizz Fairuz yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, pada jam 2 petang semalam.

Menurut laporan BH Online, laporan polis itu dilakukan selepas berakhirnya tempoh 24 jam yang diberi kepada individu di sebalik akaun laman sosial yang didakwa memfitnahnya berkhalwat untuk bersemuka tetapi tidak diendah. Atas nasihat peguam, Fizz membuat laporan polis dan mengemukakan bukti kukuh untuk diambil tindakan.

Kelmarin, Fizz mendakwa sudah mengenal pasti 70 peratus daripada identiti pemilik akaun Instagram (IG) yang mengaitkan dirinya dengan individu bergelar Datuk Seri yang ditangkap berkhalwat di Pulau Perhentian, Terengganu, baru-baru ini.

Enggan menerima permohonan maaf yang dibuat individu terbabit secara terbuka di media sosial, Fizz dilaporkan mahu bersemuka atau membuat laporan polis jika pemilik akaun IG terbabit gagal berbuat demikian. Fizz mendakwa individu terbabit adalah dalam kalangan penggiat industri seni.

Pada 7 April lalu, Fizz atau nama sebenarnya, Mohd Fairuz Zainal Abidin, 40, memberi amaran mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa individu yang mengaitkannya dengan isu khalwat di pulau peranginan itu, baru-baru ini.

Fizz berkata, dia tidak dapat berkongsi butiran lanjut mengenai laporan yang dibuat atas nasihat peguam: "Soal sama ada akaun terbabit dikendalikan seorang individu atau tidak, semuanya sudah dikongsikan kepada pihak berkuasa".


www.myartis.com / Sumber: Astro Gempak & Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: