18 April 2019
HUKUMAN LAN PET PET - PAK YA FAIL PERMOHONAN RAYUAN AGAR DITINGKATKAN
"Anak guam saya mengalami kecederaan yang agak teruk dan amat terkilan dengan keputusan berkenaan. Kami berasa amat terkilan dengan hukuman yang dikenakan ke atas OKT tersebut memandangkan ianya adalah terlalu ringan dan tidak setimpal dengan faktor pemberatan yang wujud dalam kes ini.
"Kami memohon Timbalan Pendakwa Raya dan Custodian of Public Interest mempertimbangkan untuk menfailkan Notis Rayuan terhadap hukuman tersebut ke Mahkamah Tinggi Seremban supaya hukuman dapat ditambah," kata Ahmad Ishrakh Saad, peguam yang mewakili pengawal keselamatan, Yahya Manap, 68.
Yahya atau dikenali sebagai Pak Ya yang dicederakan pelawak Lan Pet Pet atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad, telah menghantar permohonan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk merayu agar hukuman yang diterima pelakon itu ditingkatkan.
Peguam tersebut memberitahu Bernama pada Khamis bahawa permohonan itu telah dikemukakan pihaknya kepada Pejabat Peguam Negara pada 6 petang Rabu.
Klik untuk gambar besar
Katanya, permohonan itu dibuat selepas anak guamnya tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Majistret di Seremban yang mengenakan denda RM2,000 terhadap Lan, 49, Isnin lepas
Pada 15 April lalu, Lan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret setelah mengaku bersalah mencederakan seorang pengawal keselamatan di sebuah kawasan perumahan di Nilai.
Majistret Mayon Yusof mengenakan denda berkenaan selepas pelakon itu mengaku bersalah melakukan perbuatan itu pada 6 April lepas.
Dia didakwa memukul dan menumbuk Yahya kira-kira pukul 8 malam, di Acacia Park Desa Jati, Nilai. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mas Syafiqh Mahroob.
www.myartis.com / Sumber: mStar
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment