13 April 2019

INDIVIDU MOHON MAAF DI LAMAN SOSIAL - FIZZ ENGGAN TERIMA, MAHU DI SIDANG MEDIA


"Sekarang ini saya tengah berbincang dengan peguam berkenaan dengan perkara itu. Saya tidak terima permohonan maaf yang hanya dilakukan di laman sosial. Memang saya beri masa seminggu dia minta maaf secara terbuka tapi bukan hanya menulis dan mesej saya di laman sosial. Saya dah dapat kenal pasti individu tersebut.





"Jadi, saya mahu dia datang jumpa saya dan memohon maaf secara terbuka di hadapan umum," demikian kata pelakon Datuk Fizz Fairuz yang enggan menerima permohonan maaf akaun Instagram yang menyebarkan berita berunsur fitnah terhadapnya iaitu Makcik Puaka.

Menurut Fizz atau nama sebenarnya Mohd. Fairuz Zainal Abidin, 40, dia mahu individu yang mengendali akaun tersebut berjumpa dan memohon maaf dengannya secara terbuka di hadapan umum. Malah, pelakon filem 'Munafik' ini juga memberitahu pihak dia juga sudah mengenal pasti individu disebalik akaun tersebut.

Fizz diminta mengulas mengenai permohonan maaf akaun IG yang menyebarkan berita memberi gambaran suami kepada pelakon Almy Nadia itu adalah individu bergelar Datuk Seri dicekup khalwat di Pulau Perhentian, Terengganu, baru-baru ini.

Klik untuk gambar besar


Dalam pada itu, Fizz memberitahu dia berkemungkinan akan mengadakan sidang media untuk pengendali akaun itu tampil memohon maaf secara terbuka pada 16 April ini. Tambah Fizz lagi, dia akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya individu tersebut tidak tampil pada tarikh yang telah ditetapkan.

"Peguam saya akan keluarkan kenyataan kepada individu tersebut untuk tampil menghadiri sidang media untuk dia memohon maaf secara terbuka. Sekarang ini saya sibuk menjalani penggambaran tapi berkemungkinan sidang media itu akan diadakan pada 16 April ini.

"Saya nak dia datang minta maaf serta mengakui kesalahannya supaya menjadi pengajaran pada semua orang. Kalau dia tidak hadir, pihak saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya," ujarnya.

Sebelum ini, Fizz meluahkan rasa kesal dengan fitnah tidak berasas disebarkan oleh akaun IG tersebut. Malah, Fizz telah memberi tempoh seminggu kepada pihak yang menabur fitnah untuk membuat permohonan maaf secara terbuka.



Kata Fizz, pertemuan berkenaan nanti diharap mampu membersihkan namanya yang difitnah secara melampau dan menjernihkan situasi selepas ada kalangan pemerhati hiburan masih mengaitkannya dengan isu tidak betul itu.

"Pengendali IG itu sepatutnya lebih bertanggungjawab kalau mahu meminta maaf. Kita bersemuka dan dia boleh meminta maaf di depan umum. Saya pun sudah bagi tempoh seminggu. Dia boleh saja DM (mesej langsung) menerusi laman sosial atau hubungi telefon saya untuk mengatur perjumpaan.

"Kalau sekadar minta maaf di IG dan memberikan banyak alasan, termasuk kononnya mendapat maklumat daripada orang lain, itu tak ikhlas namanya. Lebih membuatkan saya terkilan, dia maklumkan tidak menyebut nama saya, tetapi kenapa meletakkan gambar saya dalam cerita berkenaan?



"Bukankah gambar itu sendiri sudah membawa kepada fitnah? Dalam konteks ini, dia wajar ambil inisiatif menghubungi saya terus, malah rasanya lagi mudah jika dia datang bersemuka di depan umum kalau benar-benar ikhlas dan jujur," tuturnya.

Katanya, tindakan tegas diambil supaya ia menjadi pengajaran kepada semua pihak agar tidak sewenang-wenangnya melemparkan tuduhan tidak berasas yang membawa kepada fitnah hingga mencalarkan maruah orang lain.

"Selama ini, saya diamkan sahaja kalau dihimpit gosip. Namun, kali ini perbuatan mereka sangat melampau, seolah-olah negara kita tiada undang-undang. Mereka sesuka hati boleh memfitnah orang. Saya pun sebenarnya bukan anak seni pertama yang berdepan fitnah akaun IG terbabit.

"Hanya kerana saya menjalani penggambaran di Terengganu, terus nama saya terpalit dengan insiden di Pulau Perhentian itu. Sedangkan, pagi itu saya sudah pun berada di Lapangan Terbang Subang bagi menghadiri sesi latihan Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2019, di Putrajaya, pada sebelah malamnya," katanya lagi.


www.myartis.com / Sumber: mStar & Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: