13 April 2019

AMBIL IKTIBAR - SCHA ALYAHYA KINI LEBIH BERHATI-HATI JALIN KERJASAMA


"Pastinya saya tidak mahu peristiwa lalu berulang semula kerana ia memberikan pelbagai impak terhadap kerjaya, sekali gus mencalarkan nama. Sehubungan itu, saya juga melihat berkali-kali kontrak bersama jenama Christy Ng sebelum sidang media kerjasama kami ini diadakan.





"Apatah lagi, apabila dimaklumkan ada pihak yang berfikir dua kali sebelum menjalankan kerjasama dengan saya kerana terbabit dengan isu saman menyaman. Mereka bertanya sana-sini mengenai portfolio saya dan Awal kerana tidak mahu turut menjadi mangsa. Isu yang timbul bukan perkara remeh, sebaliknya membabitkan nama baik kami berdua.

"Oleh itu, saya menyeru kepada semua untuk membaca dan memahami kontrak supaya hak tidak dipandang mudah oleh mana-mana pihak," kata pelakon dan pengacara Scha Alyahya yang mengambil iktibar daripada pengalaman lalu dan mengaku lebih berhati-hati dalam menjalinkan kerjasama bersama pengeluar produk.

Scha atau nama sebenarnya Sharifah Azean Syed Mahadzir, 35, berkata dia kini meneliti kontrak yang ditandatangani beberapa kali bagi memastikan tiada pihak bakal berdepan masalah. Malah, suaminya yang pelakon dan pengacara, Awal Ashaari, turut mengingatkan Scha untuk lebih berwaspada.

Klik untuk gambar besar


Terdahulu, Awal dan Scha mendapat ganti rugi berjumlah RM345,305 selepas berjaya dalam tuntutan saman terhadap syarikat D’Haja (M) Sdn Bhd berhubung pengedaran serta penjualan eksklusif minyak wangi mereka.

Menyentuh kerjasama bersama pereka kasut tempatan terkenal berkenaan, ibu kepada Lara Alana itu berkata, kolaborasi terbabit hanyalah untuk tempoh tiga bulan.

"Namun, saya bersyukur apabila dimaklumkan jumlah tempahan melebihi stok sedia ada. Saya hanya menjalankan tanggungjawab dengan berkongsi gambar kasut yang digayakan ke acara atau majlis. Tidak sangka ia memberikan impak sebegini rupa," ujarnya yang mengutamakan keselesaan dalam bergaya.








www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian, Instagram Scha Alyahya & Awal Ashaari


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: