08 April 2019

"NAK MINTA MAAF, TUNGGULAH SAYA SIHAT DULU" - PAK GUARD TAK DENDAM, CUMA SEDIH


Kecoh di media sosial apabila semalam viral sebuah rakaman memaparkan seorang pelawak terkenal membelasah seorang pengawal keselamatan yang sudah berusia. Menceritakan semula kejadian itu, Yahya Manap menyedari sebuah kereta Proton memasuki kawasan perumahan itu tanpa kebenaran.





Cedera apabila ditumbuk, ditendang dan dibaling batu oleh pelawak terkenal dalam kejadian di Taman Acacia, di sini, malam kelmarin, Yahya, 70, yang juga pengawal keselamatan di taman perumahan berkenaan menyifatkan perbuatan artis lelaki berusia 49 tahun itu sebagai 'hadiah' menyambut ulang tahun kelahirannya, semalam.

Akibat ditumbuk dan ditendang lelaki terbabit, Yahya cedera pada hidung, bengkak di muka dan sakit di bahagian pinggang serta lutut.

"Kalau dia nak minta maaf, tunggulah saya sihat dulu. Saya tidak berdendam cuma sedih dengan perbuatannya itu," kata Yahya Manap yang cedera apabila ditumbuk, ditendang dan dibaling batu oleh pelawak terkenal dalam kejadian di Taman Acacia, di sini, malam kelmarin.

Menceritakan kejadian, Yahya berkata, ketika bertugas dia menyedari kereta Proton Perdana dipandu lelaki terbabit mengekori rapat kereta seorang penduduk dan memasuki kawasan perumahan tanpa kebenaran.

"Saya pelik dengan tindakan lelaki itu lalu menunggang motosikal mengekorinya bertujuan memintanya membuat pendaftaran terlebih dulu. Namun, sebaik tiba di depan sebuah rumah, saya lihat dia sedang bertengkar dengan penghuni itu dan beredar.

"Saya mengekori semula keretanya dan dia berhenti di depan palang yang bertutup. Dia memarahi supaya membuka palang itu dan menendang motosikal saya.

"Saya cuba memberi penjelasan, tetapi dia menumbuk muka saya tiga kali dan menendang pinggang. Dia kemudian ambil batu membalingnya ke arah saya namun saya sempat mengelak dan mengenai kerusi," katanya ketika ditemui di rumahnya.

Klik untuk gambar besar


Yahya berkata, bimbang keadaan bertambah tegang dia membuka palang keselamatan dan pelawak itu mengugutnya sebelum beredar.

Berikutan itu, dia membuat laporan di Balai Polis Nilai pagi semalam dan mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).

Yahya berkata, dia tidak kenal siapa yang 'menyerangnya' itu namun penduduk memaklumkan lelaki terbabit adalah pelawak popular sekitar 1990-an.

"Siapa pun, dia tidak sepatutnya cederakan orang lebih berusia seperti saya. Saya ada keluarga. Isteri dan anak juga kecewa serta sedih lihat keadaan saya begini. Kalau dia nak minta maaf datang jumpa mereka,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Acacia, Noor Hisham Yaacob, berharap polis menjalankan siasatan telus dan mengambil tindakan sewajarnya.

Katanya, artis sepatutnya menunjukkan sikap yang baik, tetapi sebaliknya berlaku apabila tergamak membelasah dan menendang pengawal keselamatan yang menjalankan tugas.

Katanya, secara peribadi dia mengenali Yahya yang mesra dipanggil Pak Ya sebagai seorang yang baik hati dan peramah dengan penduduk.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: