06 April 2019

SELAMAT NIKAH: "DOAKAN BAPA SAYA SEDAR & SEMBUH" - AMAN NASSIM


Selamat dinikahkan dengan pilihan hatinya, Nor Baizura Abdul Ghani, 33, jam 10.35 pagi hari ini, pelakon dan penyanyi, Aman Nassim, 30, berharap ada keajaiban Allah berhubung keadaan bapanya, Nasim Haron yang kini kritikal di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru sejak Selasa lalu akibat kanser usus tahap empat.





"Jantung bapa terhenti sekejap tadi, namun ia berdegup kembali. Doakan bapa saya sedar dan sembuh. Doktor beritahu keadaan bapa kritikal iaitu tinggal lima peratus saja. Saya mengharapkan keajaiban Allah," demikian tuturnya.

Aman, 30, atau nama sebenarnya Abdul Rahman Nasim berkata, kali terakhir dia bercakap dengan bapanya pada Isnin lalu sebelum rebah dan dimasukkan hospital. Menurut Aman, ketika itu bapanya bertanyakan mengenai persiapan majlis perkahwinannya.

"Selepas menjalani rawatan kimoterapi pertama dan kedua, bapa nampak kuat. Itu yang kami mahu segerakan majlis. Namun, apa yang kita rancang semua tidak menjadi.

"Isnin lalu bapa sedar lagi. Dia menghubungi saya dan minta balik segera. Sebaik berjumpa saya, ayat pertama yang ditanya ialah mengenai persiapan kahwin saya. Saya cakap semua sudah okey dan dia tersenyum.

"Tidak sampai setengah jam, dia rebah dan pengsan. Tekanan darah turun mendadak. Sekarang, bapa menggunakan bantuan alat pernafasan," katanya.

Aman yang bernikah dengan pensyarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu berkata, menjadi impian bapanya untuk menghadiri majlis perkahwinannya.

Klik untuk gambar besar


"Ini memang impian bapa untuk datang majlis saya. Sebenarnya persiapan majlis agak kelam kabut sejak tahu dia sakit. Jadi kami siapkan dalam tempoh sebulan.

"Saya buat semuanya untuk dia tengok saya kahwin. Kita sudah rancang macam-macam untuk dia. Namun, Allah sudah aturkan semuanya," ujarnya.

Majlis akad nikah yang diadakan di kediaman pengantin perempuan di Batu 10, Kampung Melaka, Cheras itu menyaksikan pasangan pengantin ini dinikahkan bapa pengantin perempuan, Abdul Ghani Ilyas dengan disaksikan jurunikah Masjid Batu 10 Cheras, Abd Jalal Osman.

Dalam majlis tersebut, Aman menyerahkan mas kahwin RM300 beserta enam dulang hantaran dan dibalas lapan dulang daripada pihak perempuan. Pihak lelaki turut menyediakan wang hantaran berjumlah RM10,000.

Aman ketika ditemui selepas majlis nikah tidak dapat menahan air mata kerana memikirkan keadaan bapanya itu.

"Saya bersyukur segalanya berjalan lancar walaupun apa dirancang tak semua menjadi. Majlis hari ini sederhana dan buat yang wajib saja dulu.



"Memandangkan bapa masih di hospital. Saya sebenarnya berharap bapa turut hadir. Sejujurnya, sewaktu nikah tadi hati saya dalam gundah. Saya kuat sebab keluarga ada di sini.

"Sebenarnya saya mahu bapa ada pada hari ini. Kami segerakan majlis ini pun sebab dia. Tetapi, Allah lebih tahu segalanya. Saya reda dengan ketentuan Allah,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Aman, majlis resepsi yang dijadual berlangsung malam ini ditunda ke satu tarikh yang belum ditetapkan.

"Selepas ini, saya dan isteri akan bergegas pulang ke Johor Bahru. Buat masa sekarang, saya memang tidak boleh fikir benda lain.

"Kalau kami teruskan majlis malam ini pun tidak ada makna sebab dalam keadaan bersedih. Segalanya serba tidak kena nanti. Sebaiknya kami tunda dulu. Lagipun, lokasi majlis malam ini bapa yang pilih. Lagi saya bertambah sedih," jelasnya.

Majlis tersebut dihadiri sanak saudara dan rakan terdekat kedua mempelai. Turut diadakan majlis tahlil ringkas buat bapa Aman yang dipimpin jurunikah.

Terdahulu, pasangan ini mengikat tali pertunangan pada sambutan Aidilfitri lalu dan merancang untuk bernikah hujung tahun ini.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: