26 April 2019

SUFIAN NAFI KISAH LAMA PENYUMBANG UTAMA 'DI MATAMU' MELONJAK


Menafikan dakwaan mengatakan kisah peribadinya sebelum ini menjadi penyumbang utama lagu 'Di Matamu' melonjak hingga menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records, penyanyi Sufian Suhami berkata sambutan terhadap single itu sebaliknya lebih dibantu oleh cerita di sebalik lagu itu sendiri.





"Kita ada banyak lagu balada yang sedih, namun kita tak boleh nak jangka ia diterima atau tidak sebab kadang-kadang ia berlaku secara semula jadi. Apa yang saya nampak kekuatan pada 'Di Matamu' ini lebih kepada cerita di sebalik lagu itu sendiri.

"Ia juga dibantu dengan gabungan lirik, melodi dan susunan muzik yang indah. Semua faktor ini menjadikan lagu 'Di Matamu' ini diterima ramai dan membawa saya ke tahap ini," katanya.

Mengulas pencapaian cemerlang 'Di Matamu' yang mencatat tontonan tertinggi mencecah hampir 58 juta di YouTube, Sufian memberitahu, lagu itu diterima bukan semata-mata disebabkan kisah peribadinya.

Katanya, walaupun diperkenalkan ketika dia sedang berduka selepas melalui episod putus tunang dengan pelakon Elfira Loy, cerita di sebalik lagu itu turut menjadi antara faktor utama kejayaan 'Di Matamu'.

Klik untuk gambar besar


"Bagi saya, kehidupan peribadi saya hanya faktor penyokong, sedangkan lagu ini mempunyai kekuatan tersendiri dari sudut melodi dan lirik. Setiap kali menghasilkan lagu baharu, saya akan pastikan ia memenuhi piawaian yang ditetapkan.

"Berjaya atau tidak, saya tidak mampu meramal. Sekiranya berjaya, saya anggap ia sebagai rezeki. Tetapi, jika gagal, saya tetap akan terus berkarya dan berusaha memberikan yang terbaik,” katanya.

Jelas Sufian lagi, dia tidak kisah jika masih ada pihak yang menganggap dia masih hidup dalam kenangan lalu dan mengaitkan lagu itu dengan memori pahit.

Sufian juga tidak menyalahkan peminat apabila mereka menganggap, dia masih belum dapat melupakan episod pahit putus tunang yang dilaluinya, tahun lalu. Sufian juga tidak melatah apabila dikatakan masih hidup dalam kenangan gara-gara menyelitkan babak menaiki helikopter dalam video muzik single terbarunya, 'Mencuba'.

Penyanyi itu yang ditemui pada majlis pengiktirafan lagu 'Di Matamu' oleh The Malaysia Book Of Records (MBOR) dan pelancaran single terbarunya itu berkata, apa yang diperkatakan ramai hanya membabitkan satu babak dan bukan keseluruhan jalan cerita video muzik itu.



"Saya faham apabila ada yang cakap saya tak 'move on' dengan kehidupan peribadi tambah lagi apabila ada elemen helikopter di dalam muzik video Mencuba. Itu hanya pada satu babak dan bukannya keseluruhan cerita. Kalau lihat menyeluruh, mungkin orang akan faham dan boleh buang stigma masyarakat.

"Saya tahu babak itu membuatkan peminat keliru hingga membangkitkan isu, kononnya saya masih tidak boleh melupakan kisah cinta lalu. Sebenarnya, babak itu ditambah pada saat akhir selepas mendapat tajaan sebuah syarikat penerbangan persendirian.

"Sejak awal lagi, saya sudah bersedia dengan pandangan orang. Saya tidak salahkan peminat jika mereka mengaitkan babak itu dengan episod pahit yang pernah berlaku dalam kehidupan realiti saya," ujarnya.

Sufian ditemui pada majlis Pengiktirafan Malaysia Book of Record dan pelancaran lagu Mencuba di Restoran Majapahit di Kuala Lumpur, hari ini.

Lagu ciptaan Sirkhan dan Rinkarnaen itu mencatat 56 juta tontonan di YouTube dan turut memecahkan rekod Aiman Tino menerusi lagu 'Ku Rela Dibenci' dengan jumlah 43 juta tontonan.






www.myartis.com / Sumber & foto: Astro Gempak, Berita Harian & Instagram Sufian Suhaimi


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: