24 April 2019
"TAK ADIL KECAM, HUKUM HAEL & MISHA TANPA TAHU APA BERLAKU" - DAYANG
Mengenai kritikan dan kecaman netizen terhadap persembahan duet penyanyi Hael Husaini dan penyanyi Misha Omar menerusi lagu 'Rewrite The Star' di Anugerah MeleTOP Era2019 (AME2019), Ahad lalu, penyanyi Dayang Nurfaizah, 38, berkata tidak ada mana-mana penyanyi pun sengaja mahu melakukan kesalahan dalam persembahan mereka.
Ujar penyanyi lagu 'Lelaki Teragung' itu lagi, adalah tidak adil untuk netizen mengecam dan menghukum Hael dan Misha tanpa mengetahui situasi sebenar. Rata-rata mendakwa gandingan Hael dan Misha kurang serasi ketika menyampaikan lagu Inggeris itu.
"Saya simpati dan faham sangat dengan situasi yang berlaku pada persembahan Misha dan Hael yang berdepan dengan masalah teknikal pada malam itu.
"Bukannya mereka sengaja mahu melakukan kesalahan itu, tapi perkara tidak dijangka seperti itu boleh berlaku apatah lagi di pentas yang besar.
"Ia sangat tidak adil apabila netizen mengecam dan menghukum Hael dan Misha tanpa mengetahui apa yang sebenarnya berlaku serta masalah dihadapi di atas pentas ketika persembahan itu," katanya.
Klik untuk gambar besar
Dayang yang pernah bergandingan dengan Hael menerusi lagu 'Haram' itu berkata, dia juga pernah berdepan masalah teknikal ketika membuat persembahan sebelum ini.
"Sebagai penyanyi, pasti kita mahu berikan persembahan yang terbaik untuk peminat namun kadang-kadang tidak semua perkara yang kita mahu lakukan boleh jadi sempurna," jelasnya.
Ditanya sama ada dia mahu berduet lagi dengan Hael, kata Dayang, dia tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan penyanyi dan komposer berbakat itu pada masa depan.
"Saya memang ada keserasian berduet dengan Hael dalam lagu menerusi gandingan duet kami sebelum ini. Selepas berduet menerusi lagu Haram, buat masa ini belum ada perancangan untuk buat lagu duet lagi dengan Hael,” tuturnya.
www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro, Instagram Dayang Nurfaizah & Misha Omar
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment