05 May 2019

AL-FATIHAH - KELLY BASIS DIJEMPUT ILAHI, SELAMAT DIKEBUMIKAN


Takziah kami ucapkan kepada keluarga pemuzik bebas yang juga pemain gitar basis terkenal, Kelly, atas pemergian semalam akibat serangan jantung sewaktu sesi latihan sebuah majlis amal di Maps, Ipoh, Perak.





Kelly atau nama sebenarnya Wan Kelly Abdul Rahman dikatakan rebah secara tiba-tiba di atas pentas ketika sedang membuat latihan bagi Malam Kasih Amal yang sepatutnya berlangsung pada malam Sabtu.

Penyanyi Dayang Nurfaizah akui terkesan dengan kematian Allahyarham yang sepatutnya mengiringi persembahannya dalam majlis sama.

"Malam ini (semalam) amat sukar untuk saya menyanyikan lagu 'Di Pintu Syurga' kerana kehilangan seorang pemuzik yang saya kagumi.

"Baru saja kita bergurau ketika sesi 'sound check' tetapi Allah lebih menyayanginya. Sama-samalah kita sedekahkan Al-Fatihah buat arwah Abang Kelly," luah Dayang.

Adibah Noor yang turut terbabit sebagai pengacara bersama Datuk Afdlin Shauki dalam majlis sama turut meluahkan perasaan hiba di laman sosialnya.

Klik untuk gambar besar


"Dalam hati, Allah sahaja yang tahu kehibaan kami. Semasa mengacara acara malam tadi, beberapa kali kami sebak dek perginya rakan patriot seni muzik tanah air yang sepatutnya 'perform' dalam majlis sama," kata Adibah.

Katanya lagi, biar pun kejadian petang semalam itu mengejutkan ramai, persembahan perlu diteruskan kerana itulah tuntutan profesyen mereka.

Ramai artis popular lain yang mengenali dan pernah bekerjasama dengan arwah dalam beberapa projek single, album dan konsert turut meluahkan rasa sedih dan takziah di laman sosial masing-masing selain mengajak peminat masing-masing sedekahkan surah Al-Fatihah kepada arwah.

Antaranya artis yang mengenali dan pernah bekerjasama dengan arwah ialah Datuk Sheila Majid, Hafiz Hamidun, Anuar Zain, Noh Hujan dan kumpulan Ruffedge.

Jenazah Allahyarham telah dibawa pulang ke rumah di Bandar Sri Damansara dan selamat dikebumikan pagi ini di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara, Selangor.

Allahyarham Kelly meninggalkan seorang balu, Zeti, dan tiga anak iaitu Wan Adam Nuqman, 20, dan kembar, Wan Afri Zareeth, Wan Efra Armand, 15.


www.myartis.com / Sumber: Kosmo & Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: