04 May 2019

BIMBANG MATI SEBELUM MOHON MAAF - LAN HARAP NETIZEN BERHENTI KEJINYA & PAK YA


Pepatah 'Terlajak perahu boleh diundur, namun terlajak kata atau perbuatan, buruk padahnya' sesuai menggambarkan insiden yang berlaku antara pelawak Lan Pet Pet atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad dengan seorang pengawal keselamatan, Yahya Manap.





Awal April lalu, video Lan memarahi dan memukul Yahya atau Pak Ya telah tular sehingga mendapat perhatian meluas masyarakat yang terkejut dengan tindakan anggota kumpulan Senario itu. Sebaik sahaja Lan menerima hukuman denda RM2,000 di atas kesalahannya itu, dia segera memulakan usaha mencari Pak Ya kerana mahu meminta maaf di atas ketelanjuran sikap pada malam kejadian.

Mengakui semua yang berlaku pada malam tersebut adalah silap diri sendiri, adik ipar kepada aktres Rozita Che Wan itu berkata, hidupnya tidak tenang sejak peristiwa tersebut kerana bimbang meninggal dunia sebelum sempat meminta maaf kepada Pak Ya.

Pada sidang akhbar 'Maafkan Kami' yang berlangsung di i-Bikerstation Food Court, Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini, berlangsung permohonan maaf secara rasmi antara mereka berdua dan Lan turut mengumumkan akan membawa Pak Ya bersama isteri untuk menunaikan umrah pada hujung tahun ini. Ikuti temubual KOSMO! bersama Lan Pet Pet bagi mengetahui lebih lanjut:-

Klik untuk gambar besar


KOSMO!: Bilakah perasaan bersalah Lan timbul atas apa yang berlaku?

LAN PET PET: Perasaan bersalah mula membuak-buak ketika saya ditahan reman semalaman di penjara. Satu malam sahaja di penjara boleh mengubah seseorang. Saya menangis bukan kerana takut dipenjara, tetapi kerana bimbang saya mati sebelum sempat memohon kemaafan daripada orang yang sepatutnya saya layan seperti bapa sendiri. Alhamdulillah, Allah permudahkan juga usaha saya bertemu Pak Ya, malah dia dan keluarganya dengan hati terbuka menerima permohonan maaf saya.

KOSMO!: Apakah sebenarnya yang berlaku pada malam itu?

LAN PET PET: Kalau boleh, saya tidak mahu memanjangkan isu ini memandangkan sudah selesai. Apa yang boleh saya beritahu, berlaku sedikit perselisihan faham antara saya dengan penghuni taman berkenaan dan secara tidak sengaja, Pak Ya terheret sama dalam hal itu.

KOSMO!: Adakah anda sebenarnya seorang yang panas baran?

LAN PET PET: Tanyalah sesiapa yang mengenali Lan Pet Pet, pasti mereka akan beritahu susah untuk melihat saya naik angin. Saya suka melawak untuk menghilangkan ketegangan berbanding mengamuk atau marah. Cuma pada malam itu, mungkin perasaan dan minda saya sedikit di luar kawalan kewarasan maka berlakulah insiden tersebut. Namun, itu kelemahan dan kesilapan sendiri, maka saya terima akibatnya.

KOSMO!: Adakah tindakan membawa Pak Ya dan isteri menunaikan umrah sebagai jalan mudah mengaburi mata netizen yang mencemuh anda?

LAN PET PET: Saya tidak peduli apa netizen katakan kerana saya ikhlas mahu membawa Pak Ya dan isteri ke Tanah Suci atas kesudiannya memaafkan saya yang serba kekurangan ini. Biarlah andai orang ramai meragui niat saya kerana paling penting saya sudah mendapat kemaafan daripadanya. Netizen yang mencemuh saya, keluarga dan arwah bapa perlu meminta maaf kerana dosa dengan manusia Allah tidak dapat tolong hapuskan.

KOSMO!: Apakah harapan anda selepas kes ini selesai?

LAN PET PET: Saya berharap netizen di luar sana sudah-sudahlah mengeji kerana saya dan Pak Ya pun sudah berdamai. Berhentilah mencemuh arwah bapa, kerana ini kesalahan saya, tiada kena-mengena dengan didikannya. Pak Ya juga meminta agar isu ini tidak lagi diperbesarkan dan kita sama-sama muhasabah diri serta mengambil pengajaran atas apa yang berlaku.


www.myartis.com / Sumber: Kosmo


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: