29 May 2019

BUAT SOLAT HAJAT - KELUARGA HARAP FARID KAMIL BEBAS, BERAYA BERSAMA


"Kami ada menemui Farid. Alhamdulillah. Berbanding ketika dimasukkan ke lokap dahulu, kali ini dia kelihatan lebih tenang. Farid berpesan, agar saya menjaga keluarga. Sepanjang ketiadaan dia, tanggungjawab sebagai anak sulung, kini terletak pada bahu saya.





"Ibu bapa sudah tentu sedih. Saya masih belum mempunyai kesempatan melawat mereka kerana kami akan pulang beraya sekitar seminggu sebelum 1 Syawal. Kes kali ini berbeza kerana mahkamah telah menjatuhkan hukuman. Tidak seperti kes terdahulu dia hanya masuk lokap dan ada ruang untuk dibebaskan.

"Selain doa ibu bapa di Jitra, Alor Setar, Kedah, kami adik beradik juga ada melakukan solat hajat untuk Farid. Kali terakhir kami bertemu ketika masing-masing hadir melawat Farid. Tidak banyak yang saya boleh ulas tentang Diana kerana kami belum berjumpa untuk duduk bersama-sama.

"Sepatutnya, saya dan isteri (Yana Samsudin) berbuka puasa bersama Diana hari ini. Namun, salah seorang adik saya turut ke rumahnya hari ini, jadi kami buat keputusan untuk datang ke majlis berbuka puasa bersama anak yatim di sini.

"Lagipun, saya dan Yana ada komitmen tersendiri dalam media sosial. Kami tidak boleh mencampuradukkan hal peribadi dan kerja. Kami tidak pernah bercadang untuk melawat Farid pada hari perayaan kerana kami berharap dia keluar untuk beraya bersama.

"Setiap tahun menjelang raya, Farid akan jadi ketua. Dia akan menguruskan segala hal keperluan perayaan. Dia orang yang paling bising ketika membuat persiapan. Jujurnya, kami masih bersedih tetapi pendekatan kami sekeluarga ialah hidup perlu diteruskan. Kami tidak boleh berkongsi mengenai luahan hati kepada umum di platform media sosial.

Klik untuk gambar besar


"Kami sentiasa mendoakan yang terbaik tetapi tidak berdoa dalam media sosial," demikian kata pelakon Fadzil Zahari ketika ditanya mengenai abangnya yang juga seorang pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil, keluarga serta isteri Farid, pelakon Diana Danielle.

Berhubung status terkini proses rayuan permohonan untuk menangguhkan dan membebaskan Farid daripada hukuman penjara, Fadzil memaklumkan dia sentiasa berhubung dengan peguam mengenai perkara ini. Malangnya, dia tidak boleh berkongsi maklumat tersebut kerana melibatkan perundangan: "Apa yang saya boleh kongsikan, pasukan peguam Farid sedang bekerja keras dan berusaha ke arah itu".

Tempoh dua minggu menjelang tibanya Hari Raya Aidilfitri yang sepatutnya dilalui dengan keterujaan dan kesyukuran seperti hilang sebahagian rasa buat keluarga Farid ini. Akui Fadzil, seluruh keluarganya juga masih dalam keadaan terkejut.

Ini kerana harus menerima hakikat bahawa ayah kepada dua cahaya mata, Muhammad dan Nur Aurora itu sedang menjalani hukuman penjara selama sembilan bulan bermula 15 Mei lalu apabila Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara terhadap Farid selepas didapati bersalah menggunakan dadah jenis ganja pada tahun lalu.

Enggan mempertikaikan keputusan mahkamah, suami kepada pelakon Yana Samsudin bagaimanapun memberitahu, seluruh ahli keluarga masih mengharapkan keajaiban agar pelakon 'Lagenda Budak Setan' itu beroleh pembebasan dengan segera.


www.myartis.com / Sumber & foto: Kosmo & Instagram Fadzil Zahari, Farid Kamil & Diana Danielle


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: