01 May 2019
DIARAH BELA DIRI KES DADAH: "BERPELUANG UNTUK NIKMATI SESI MAHKAMAH..." - FARID KAMIL
Pada Selasa, pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari telah diarah oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor, untuk membela diri atas pertuduhan menggunakan dadah jenis ganja THC atau Tetra Hydrocannibol, Januari tahu lalu.
Majistret Nor Ariffin Hisham membuat keputusan itu terhadap Farid, 38, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes firma facie pada akhir pendakwaan kes tersebut. Mahkamah menetapkan 15 dan 16 Mei ini bagi bicara bela diri dan selebriti itu memilih memberi keterangan bersumpah dalam kandang saksi.
Mengikut pertuduhan, Farid didakwa menggunakan THC yang juga dadah terdapat pada ganja di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pukul 4.30 petang, pada 11 Januari 2018.
Berikutan itu pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Klik untuk gambar besar
Seramai lima orang saksi telah dipanggil memberi keterangan pada perbincangan yang bermula sejak 18 Disember 2018. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sumayyah Amran manakala Farid diwakili peguam Megat Syazlee Mokhtarom.
Sementara itu, Farid ketika ditemui diluar mahkamah berkata dia menerima keputusan mahkamah itu dengan hati terbuka: "Dengan keputusan ini ia dapat memberi peluang kepada peguam saya untuk membuat pembelaan... dan keadilan akan ditimbang tara. Alhamdulillah saya juga berpeluang untuk nikmati sesi mahkamah secara langsung".
Dalam prosiding sama, mahkamah turut menetapkan 30 Mei ini bagi keputusan akhir pendakwaan empat lagi pertuduhan terhadap Farid iaitu mendatangkan cedera, menggunakan kekerasan jenayah dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Farid didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Ashraf Ahmad, 35, seorang eksekutif akaun syarikat swasta dan Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin, 24, seorang anggota polis.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap Mohd Nizam dengan niat menghalang tugas polis. Dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pertuduhan keempat iaitu berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan kepada Mohd Nizam, yang boleh mendatangkan kemarahan dan penghinaan terhadap mangsa.
Dia didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500 atau maksimum penjara enam bulan atau kedua-duanya. Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan Balai Polis Trafik Kota Damansara pukul 1.20 petang pada 11 Januari tahun lalu.
www.myartis.com / Sumber: mStar
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment