13 May 2019

DIDAKWA MILIKI PRODUK TIDAK LULUS KKM - SAJAT BERDEPAN DENDA RM25K


Dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan memiliki 19 produk kecantikan yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), usahawan kosmetik penuh kontroversi, Nur Sajat bagaimanapun mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Norasidah Abd Rahman.





Difahamkan, sepasukan anggota dan pegawai Unit Farmasi, KKM telah melakukan pemeriksaan di sebuah premis di Bandar Baru Uda, kira-kira 12 tengah hari, 15 Ogos tahun lalu dan merampas 19 produk kecantikan bernilai hampir RM10,000.

Ketika serbuan dilakukan, Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman, 34, tidak ada di premis berkenaan. Antara produk yang dirampas termasuklah pemutih kulit dan beberapa produk kecantikan lain.

Tindakan diambil mengikut Peraturan 7(1)(a) Peraturan-peraturan kawalan dadah dan kosmetik 1984 dan ia satu kesalahan mengikut Peraturan 30(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah Dan Kosmetik 1984.

Klik untuk gambar besar


Sajat didakwa mengikut Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952, sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM25,000 atau penjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama.

Pegawai pendakwa Bahagian Perkhidmatan Farmasi Johor memohon mahkamah menetapkan RM8,000 sebagai wang jaminan dan seorang penjamin berikutan kesalahan dilakukan tertuduh yang serius.

Peguam bela Nur Sajat memohon wang jaminan sebanyak RM1,500 dengan alasan anak guamnya itu tidak pernah ingkar arahan mahkamah tetapi pihak mahkamah menetapkan RM7,000 sebagai jumlah wang jaminan seorang penjamin. Mahkamah turut menetapkan 23 jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Nur Sajat bagaimanapun hanya menjelaskan wang jaminan kira-kira 12 tengah hari selepas menunggu rakannya mengeluarkan wang. Selain itu, usahawan berkenaan dilihat cuba mengelak wartawan dan jurugambar dengan menggunakan laluan lain untuk ke kaunter bayaran.






www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro, Beautifulnara & Instagram Nur Sajat


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: