07 May 2019

EZAD LAZIM BERSYUKUR BAPANYA DIBENARKAN KELUAR HOSPITAL


"Alhamdulillah, kami sekeluarga gembira abah akhirnya keluar wad sehari sebelum ketibaan Ramadan. Kesihatannya semakin bertambah baik. Selera makan pun dah ada. Cuma dia kena menjalani temujanji hospital selanjutnya selepas keluar wad. Mulanya semangat abah agak kurang.





"Tapi apabila semua anak dah berkumpul, barulah semangatnya datang. Kami pun kena selalu bersembang dengan abah supaya dia rasa selesa," kata penyanyi Ezad Lazim, 39, yang bersyukur apabila bapanya, Mohd Lazim Ismail, 74, dibenarkan keluar dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, kelmarin selepas 50 hari menerima rawatan.

Bapa Ezad dimasukkan ke HSB sejak 17 Mac lalu selepas mengadu sakit dalam perut dan mengalami masalah di bahagian pinggang. Dia seterusnya dibawa menjalani pemeriksaan doktor di klinik serta ujian air kencing dan doktor memaklumkan bapanya mempunyai masalah kencing kotor dan memberikan ubat serta memintanya balik berehat.

Selepas itu Mohd Lazim tidak boleh berdiri dan berjalan sehingga terpaksa dipapah. Dia juga terjatuh dalam tandas dan tersembam di ruang tamu kerana hilang imbangan. Kakak Ezad membawa bapanya membuat pemeriksaan di hospital swasta bagi mendapatkan nasihat pakar tulang mengenai kakinya dan mengenalpasti masalah sakit pinggang.

Hasil ujian x-ray mendapati dua tulang lumbar bapanya tersepit pada saraf yang menjadi punca kaki kanannya lemah. Manakala kesan terjatuh membuatkan kuman merebak di tulang belakang sehingga dia demam tidak menentu masa kerana sel darah putihnya naik mendadak.

Klik untuk gambar besar


"Masalah ini berjaya diatasi apabila darah ditambah sebanyak lima beg. Alhamdulillah sel darah merahnya sudah kembali normal. Abah dibenarkan keluar wad selepas selesai tempoh rawatan antibiotik iaitu selama enam minggu.

"Sebelum ini kuman dalam badannya agak kritikal menyebabkan doktor menetapkan tempoh enam minggu untuk memasukkan antibiotik secara suntikan," ujarnya.

Menurut Ezad, selepas ini kakaknya perlu menepati temujanji membawa bapanya yang merupakan seorang pemuzik yang pernah bermain muzik bersama kumpulan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Kedah dalam genre ghazal parti itu bertemu pakar saraf dan pakar tulang.

"Abah juga perlu mendaftar untuk sesi rawatan fisioterapi selepas ini. Abah kena diajar buat senaman serta bangun dan duduk sendiri. Kalau semangatnya kuat, peluangnya untuk kembali berjalan memang cerah," jelasnya yang berkesempatan pulang ke Kedah melawat bapanya baru-baru ini.


www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Ezad Lazim


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: