01 May 2019
MUALAF SETAHUN LALU - MICHAEL ANG TAK SABAR SOLAT JUMAAT PERTAMA KALI DI MASJID
Alhamdulillah... selamat datang saudara baru pengarah dan penerbit, Michael Ang yang mengesahkan dia sudah memeluk agama Islam lebih setahun lalu. Ramadan lalu, Michael dikatakan sudah bergelar mualaf dan status agamanya mencetuskan persoalan ramai apabila dia kerap berkongsi pengalaman belajar berpuasa.
Foto Michael bersama pendakwah berbangsa Cina, Ustaz Firdaus Wong dan Ustaz Sheikh Hussain Yee selain sekeping kad perakuan Islam yang tular di media sosial sebelum ini juga menguatkan spekulasi Michael telah memeluk Islam di hadapan dua orang ustaz tersebut.
Pengumuman peluk Islam tersebut didedahkan Michael sendiri menerusi satu video eksklusif. Menurut Michael, dia mendedahkan perkara itu bertujuan tidak mahu masyarakat terus berteka-teki dan memperkatakan mengenai status agamanya setiap kali dia menunaikan solat Jumaat di masjid.
"Alhamdulillah, kini sudah lebih setahun saya bergelar seorang Muslim. Saya dah sedia memberitahu semua mengenai perkara ini. Sejujurnya, selama saya mendalami agama Islam, masih ada banyak perkara yang saya harus pelajari.
"Untuk saya mula tunaikan solat Jumaat, lebih baik saya berterus terang daripada ada orang melihat saya di masjid dan memperkatakan tentang perkara ini. Saya juga tidak mahu perkara ini diperbesarkan kerana ia antara saya dan Allah," jelasnya.
Dalam pada itu, Michael memberitahu juga tidak mahu perkara tersebut diperbesarkan serta meminta orang ramai mendoakan yang terbaik serta semoga penghijrahannya akan sentiasa diberkati.
Klik untuk gambar besar
"Sebenarnya kalau boleh tak nak memperbesarkan kerana ini antara saya dan Allah. Doakan sahaja saya kekal di jalan ini dan saya alu-alukan segala tunjuk ajar," katanya.
Michael dalam pada itu berkata dia memohon tunjuk ajar daripada orang ramai dan menegur seandainya dia berbuat silap.
"Assalamualaikum! Saya budak baru kalau ada salah tolong tegur. Doakanlah yang baik-baik. Maaf kalau saya rahsiakan ni dah lebih dari setahun. Cuma I rasa perkara ni adalah antara saya dengan Allah dan keluarga saya," tuturnya.
Michael mendedahkan khabar gembira itu menerusi sebuah video eksklusif yang dimuatnaik di saluran YouTube Official Ria X. Pengarah filem 'Kimchi Untuk Awak' itu turut memohon peminat supaya mendoakan dia kekal sebagai seorang Islam sehingga akhir hayat.
"Doakan saya kekal pada jalan ini dan saya alu-alukan segala tunjuk ajar daripada semua. Semoga kita dilihat baik di mata Allah," mohonnya.
Diruangan komen akuan Instagram miliknya, ramai netizen meluahkan rasa gembira dan bersyukur di atas penghijrahannya itu. Malah ramai yang mendoakan agar Allah sentiasa memelihara hatinya dan kekal istiqomah.
Kesempatan untuk menunaikan solat Jumaat buat pertama kali di masjid pada Jumaat ini merupakan perkara utama yang ingin dilakukan Michael selepas membuat pengumuman sudah memeluk Islam sejak lebih setahun lalu.
Kata Michael yang masih mengekalkan nama asalnya Michael Ang Hai Swee, sejak memeluk Islam pada Februari tahun lalu, dia hanya menunaikan solat Jumaat di rumah kerana ketika itu status agamanya belum diketahui umum.
"Alhamdulillah, sekarang saya rasa sangat lega kerana sudah boleh jawab salam daripada semua orang. Malah saya juga sudah boleh jadi diri sendiri dan tiada apa ingin disorokkan lagi. Tahun ini adalah kali kedua saya menyambut bulan Ramadan tetapi ia memberi lebih makna kepada saya.
"Sebab saya boleh jalani hidup seperti seorang Muslim seperti orang lain. Perkara paling penting yang saya tidak sabar untuk lakukan adalah menunaikan solat Jumaat di masjid. Rakan pelakon Alif Satar juga sudah berjanji untuk solat bersama-sama pada Jumaat ini," ujarnya.
Ketika ditanya tentang alasan dirinya menyimpan rahsia itu selama lebih setahun, Michael mengakui sangat bimbang dengan penerimaan masyarakat terutama netizen di laman sosial.
Hal ini kerana sebelum ini dia pernah dikecam hebat kerana dianggap tidak layak memberikan komen tentang tindakan pelakon Emma Maembong membuka tudung dan isu video kontroversi kelab malam membabitkan bekas pemenang Dewi Remaja 2018/2019, Haneesya Hanee.
"Sejujurnya saya tiada niat untuk sorokkan pun. Saya tidak mahu membesarkan hal ini kerana bimbang akan dikecam. Dulu netizen pertikaikan kenapa saya banyak sentuh soal agama dalam beberapa isu membabitkan beberapa orang artis.
"Tetapi selepas kad agama saya tersebar, mahu atau tidak saya perlu mengaku. Tidak sangka komen yang saya terima selepas membuat pendedahan ini semuanya positif. Saya bersyukur dan sangat menghargainya. Cuma hanya satu permintaan daripada saya. Kalau ada salah silap, mohon tunjuk ajar sebab saya budak baru belajar untuk mengenal Islam," katanya.
Sementara itu, pelakon Adam Corrie Lee menerusi laman Instagramnya sempat berkongsi rasa terharu dan gembira dengan penghijrahan sutradara terkenal itu yang telah memeluk Islam. Kata Adam, selain memanjatkan rasa syukur, dia turut mengutuskan doa buat saudara baru itu.
"Alhamdulillah! Alhamdulillah! Alhamdulillah! Syukur tak terkata, menitis air mata saya dapat khabar berita ini. Selamat kembali wahai saudaraku. Semoga Allah permudahkan segala urusan saudaraku dunia & akhirat ðŸ˜ðŸ˜. Aamin Allahumma Aamin. #adamcorrie #syahadah #saudarabaru," tulisnya yang turut mengulang siar kenyataan Michael di Instagramnya petang semalam.
Manakala, pendakwah bebas, Ustaz Firdaus Wong Wai Hung telah berkongsi detik pengislaman Michael. Menerusi entri di akaun Instagram milik Firdaus, aktivis sosial itu turut memohon orang ramai memberikan ruang untuk Michael mendalami Islam mengikut kemampuan dirinya.
"Benarkah pengarah terkenal Michael Ang Telah Memeluk Islam? Ramai yang mesej bertanya apakah benar Michael Ang telah memeluk Islam? Memandangkan @michaelang38 dah kongsikan, maka saya juga turut ingin kongsikan berita gembira ini.
"Alhamdulilah. Ya benar beliau telah memeluk agama Islam lebih setahun lepas bersama saya dan Sheikh Hussain Yee dan segala urusan pendaftarannya diuruskan oleh NGO saya iaitu Multiracial Reverted Muslims (MRM). Majlis pengislaman berlangsung sederhana sahaja di rumah beliau. Kami berjanji merahsiakan sehingga beliau sendiri bersedia.
"Alhamdulilah Alhamdulilah Alhamdulilah.. Selamat kembali ke agama Islam, Michael.. Bagilah ruang dan peluang untuk beliau mendalami agama Islam mengikut kemampuan dan kelajuannya yang tersendiri. Jangan sindir dan perli tetapi berikan motivasi dan dorongan bukan sahaja untuk beliau tetapi kepada semua yang mahu kembali kepada Islam," tulis Firdaus.
ATAU KLIK DISINI UNTUK TONTON VIDEO
www.myartis.com / Sumber, foto & video: Rotikaya, Kosmo, Berita Harian, Astro Gempak, Instagram Michael Ang, Adam Corrie Lee & Ustaz Firdaus Wong Wai Hung
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment