07 May 2019
"QADEJAH MANJA & SUKA BERDRAMA... DIA MENANGIS TERHARU BUKAN SAKIT" - ALIFF SYUKRI
Sebelum ini, usahawan komestik yang juga bergelar penyanyi Datuk Seri Aliff Syukri telah memohon maaf atas keterlanjuran dan beliau kesal dengan tindakannya merotan anak perempuannya, Qadejah El Zahra, 9, kerana membuka tudung.
Aliff atau nama lengkapnya, Aliff Syukri Kamarzaman, 32, mendedahkan, beliau telah dikunjungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berhubung hal berkenaan termasuk menerima panggilan telefon daripada pihak polis untuk melakukan siasatan lanjut.
Terdahulu, sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Protect and Save The Children (P.S The Children) yang merupakan ahli Gabungan Hak Kanak-Kanak Malaysia (CRCM) membuat laporan polis ke atas Aliff di ibu pejabat polis daerah Petaling Jaya, Selangor.
Bagaimanapun, Aliff tetap mempertahankan tindakannya mendidik anak dengan cara merotan, namun mengakui tersilap langkah kerana berkongsi mengenai perkara tersebut dalam akaun Instagram miliknya sehingga mendatangkan kemarahan orang ramai. Ikuti temubual KOSMO! dengan Aliff Syukri berhubung isu tersebut dengan lebih lanjut:
Klik untuk gambar besar
KOSMO!: Apakah respons Aliff selepas laporan polis dibuat oleh sebuah NGO atas tindakan anda merotan anak dan berkongsi mengenai perkara tersebut dalam laman sosial?
ALIFF SYUKRI: Ya, saya menerima banyak kecaman selepas tindakan merotan anak menjadi tular. Semua orang masuk campur sehingga perkara ini menjadi rumit, sedangkan saya merotan anak sendiri, bukannya anak orang lain. Saya sedia maklum dengan laporan polis yang dibuat oleh sebuah NGO terhadap saya. Apa yang boleh dikatakan adalah saya mohon maaf sekiranya perbuatan saya mengguris hati mana-mana pihak.
KOSMO!: Boleh kongsikan apakah yang berlaku selepas laporan polis terhadap anda dibuat?
ALIFF SYUKRI: Saya telah dikunjungi oleh JKM baru-baru ini disebabkan isu tersebut. Mereka datang ke pejabat, namun ketika itu saya dan isteri tiada di sana. Bagaimanapun, saya sudah menghubungi pihak JKM dan akan memberikan kerjasama andai mereka ingin menyiasat. Beberapa hari sebelum itu, saya juga telah dihubungi pihak polis atas laporan yang mendakwa saya mendera anak sendiri.
KOSMO!: Adakah benar anda mendera anak sendiri hanya kerana tidak memakai tudung?
ALIFF SYUKRI: Qadejah adalah anak saya sendiri bukan anak angkat. Saya mengaku tindakan saya memuatnaik video dirinya seperti teruk dirotan adalah satu kesilapan. Saya juga mengaku merotan anak, namun tidaklah sampai menyebabkan kecederaan yang serius. Rotan yang saya gunakan pun nipis. Untuk pengetahuan semua, Qadejah memang manja dan suka berdrama seperti saya. Jika dimarah sedikit pun dia sudah boleh mengalirkan air mata. Sewaktu video tersebut dirakam, dia menangis sebab terharu kerana saya meletakkan ubat pada bahagian badan yang dirotan. Bukan sebab sakit kena rotan dengan saya.
KOSMO!: Apakah alasan anda merotan anak sendiri disebabkan tidak bertudung walhal usianya masih terlalu mentah?
ALIFF SYUKRI: Saya tidak mahu jika sudah bermasalah nanti baru mahu merotan anak sendiri. Saya tidak mahu masalah sosial seperti pergi kelab malam dan minum arak berlaku dalam keturunan saya. Daripada kecil inilah saya perlu mendidik anak dengan baik. Kalau sudah besar dan terlambat nanti, saya juga yang dipersalahkan sebagai bapa bukan orang di luar sana. Nasihat saya kepada orang yang suka mencari silap, jaga tepi kain sendiri dahulu sebelum sibuk tentang hal orang lain. Tegur tiada masalah tetapi, kalau sudah mengutuk menggunakan bahasa yang kasar dan tidak melambangkan ciri agama Islam, mereka perlu cermin diri sendiri dahulu.
KOSMO!: Sebelum ini anda pernah berjanji mahu memperlahankan 'kerja gila' dalam laman sosial demi publisiti. Nampaknya perkara tersebut telah dimungkiri. Komen anda?
ALIFF SYUKRI: Saya juga manusia biasa yang tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan. Sebenarnya saya sudah penat berniaga dan rasa ingin berhenti. Namun, apabila memikirkan tentang masa depan anak-anak, saya cekalkan hati walaupun terpaksa berdepan dengan kecaman hebat daripada orang ramai. Saya manusia yang jahil dan kadang-kadang saya lupa diri.
KOSMO!: Apa pesanan buat netizen yang gemar mencari kesalahan anda?
ALIFF SYUKRI: Orang nampak saya gembira dan ceria secara luaran, namun tidak pernah tahu apa yang terbuku dalam hati. Seperkara lagi, saya musykil mengapa ada orang melenting berlebihan apabila saya mendidik anak mengikut cara sendiri. Andai benar prihatin tentang nasib kanak-kanak, tolong bantu anak-anak gelandangan yang memerlukan bantuan. Di ibu kota, ramai yang memerlukan dan saya rasa, kita sebagai manusia mempunyai tanggungjawab terhadap masalah seperti ini.
www.myartis.com / Sumber & foto: Kosmo, Instagram Aliff Syukri & Qadejah El Zahra
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment