03 May 2019

RASUAH 2.8 JUTA - ZIZIE IZETTE & SUAMI MENGAKU TIDAK BERSALAH


Hari ini di dua Mahkamah Sesyen berlainan, pelakon Zizie Izette atau nama penuhnya Datin Seri Zizie Izette A. Samad dan suaminya, ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin masing-masing didakwa atas tiga pertuduhan rasuah dan bersubahat membabitkan pelaburan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan Berhad (Felcra) bernilai RM2.8 juta empat tahun lalu.





Bagaimanapun Bung Mokhtar, 60, dan Zizie Izette, 41, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozina Ayob dan Azura Alwi.

Di hadapan Rozina, mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Bung Moktar didakwa sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad ketika itu telah secara rasuah memperoleh wang suapan keseluruhan RM2.8 juta melalui akaun isterinya yang juga pelakon, Zizie Izette.

Wang itu sebagai upah mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Klik untuk gambar besar


Kesemua wang upah itu diberi oleh dua ejen pelaburan melalui akaun Public Iktikal Sequel Fund (Pitseq) yang mana akaun itu dibawah nama Zizie Izette.

Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad cawangan Taman Melawati, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini antara 12 hingga 19 Jun 2015.

Berikutan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (akta 694) yang boleh dihukum dibawah subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.



Sementara di hadapan Azura, Zizie Izette didakwa tiga pertuduhan, bersubahat dengan suaminya melibatkan perbuatan dan jumlah sama yang didakwa dibawah perenggan 28(1)(c) Akta SPRM dan boleh dihukum dibawah subseksyen 24(1) yang memperuntukkan hukuman sama .

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Datuk Umar Saifuddin Jaafar menawarkan ikat jamin RM100,000 masing-masing kepada tertuduh termasuk syarat pasport milik kedua-dua tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Datuk K. Kumaraendran yang mewakili kedua-dua tertuduh tidak membantah jumlah ikat jamin tersebut termasuk syarat pasport itu.

Hakim Rozina dan Azura kemudian menetapkan 10 Jun ini untuk sebutan semula kes dan pasport milik tertuduh diserahkan sehingga kes selesai.




www.myartis.com / Sumber & foto: Kosmo, Utusan, Berita Harian & Beautifulnara


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: