23 May 2019
SHAH SLAM & KELUARGA TERIMA BANTUAN DARIPADA RAKAN ARTIS 90-AN
Acara Iftar Artis 5 Suara bersama barisan artis 90-an di sebuah hotel di Kampung Baru pada Isnin lalu, telah berjaya mengutip lebih RM600 tabung bantuan kecemasan bagi membantu keluarga pemain gitar kumpulan Slam iaitu Shah yang ditimpa musibah baru-baru ini.
Penyanyi Mac Ruhayu ketika dihubungi berkata pada acara itu hampir 100 artis era 90-an berkumpul beramah mesra sambil mengeratkan silaturahim.
"Ramai rakan artis yang hadir menyumbang ke dalam tabung bantuan kecemasan yang kami lancarkan pada malam itu juga. Alhamdulillah, kami dapat kumpul RM600 dan wang sumbangan itu sudah diserahkan kepada Shah dan isterinya, Ina (bekas ahli kumpulan Freshies) di 'homestay' tempat mereka berteduh petang semalam," kata Mac.
Selain wang yang terkumpul, Shah dan keluarga turut mendapat sumbangan tambahan berupa hamper makanan dan wang tunai dari wakil syarikat Intercoin X, Nicholas Gordan yang turut menemani Mac.
Dalam pada itu, Mac meluahkan rasa terkilan apabila mendapat tahu sehingga hari ini belum ada wakil persatuan artis atau pemimpin tempatan yang turun padang untuk membantu mahu pun bertanya khabar susulan tragedi kebakaran rumah keluarga pemuzik itu.
"Saya bertanya Ina, ada tak wakil persatuan artis dan wakil rakyat turun membantu atau tanya khabar selain kami? Dia mendakwa setakat ini tiada sesiapa pun, hanya kami sahaja yang datang melawat dan bertanya khabar," kata Mac lagi.
Pada Jumaat lalu, rumah sewa dua tingkat yang didiami Shah bersama Ina Freshies dan tiga anak perempuan mereka di Taman Bukit Indah, Ampang terbakar kerana litar pintas.
Kebakaran dipercayai berlaku ketika waktu berbuka puasa itu menyebabkan perabot, pakaian dan dokumen penting yang disimpan dalam dua bilik tidur di tingkat atas musnah sama sekali. Susulan kejadian, keluarga itu terpaksa berteduh di sebuah 'homestay' ihsan jiran mereka di Taman Kosas.
www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment