06 May 2019

TAHNIAH - NASIR SEARCH SELAMAT BERNIKAH KALI KEDUA


Pemain gitar bass kumpulan Search iaitu Nasir Daud, 60, telah selamat bergelar suami kepada Noraziah Saadon, 48, dengan sekali lafaz pada jam 11.30 pagi semalam.





Pasangan berkenaan dinikahkan Kadi Daerah Johor Bahru, Zulkifli Mohamed di Bilik Nikah Pejabat Kadi Johor Bahru, Pusat Islam Iskandar Johor. Nasir menyerahkan sebentuk cincin sebagai mas kahwin dan wang hantaran berjumlah RM50,000.

Majlis turut membabitkan enam pasangan lain diijabkabulkan pada hari sama, sebelum pengantin lelaki membaca lafaz taklik di depan 10 minit kemudian.

Kedua-dua pasangan bagaikan merpati dua sejoli dilihat bersyukur sebaik pernikahan selesai sambil Noraziah, mengesat air mata sejurus sah sebagai isteri Nasir.

Nasir yang memakai jubah dan Noraziah yang juga pegawai di Pejabat RISDA Johor Bahru, berbaju kebaya merah dan bertudung krim, diiringi ahli keluarga pada majlis berkenaan.

Ketika ditemui pada majlis itu, Nasir berkata, dia bersyukur pernikahannya bersama pasangan berjalan lancar dan berdoa supaya kekal hingga ke akhir hayat.

"Saya bersyukur semuanya berjalan lancar mengikut perancangan, malah tidak mengambil masa lama untuk dinikahkan. Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan Tuhan dan dapat kerjasama semua pihak," ujarnya.

Klik untuk gambar besar


Katanya, dia yang bernikah kali kedua berharap bahtera rumah tangga dibina bersama isterinya kekal hingga ke akhir hayat. Ditanya perasaannya ketika akad nikah, katanya, dia tidak berdebar kerana tidak ada apa-apa yang mengganggunya dan semuanya berjalan dengan baik.

Manakala, majlis persandingan bagi pasangan itu telah berlangsung di R&R Bistro, Bandar Baru Uda, pada jam 12 tengah hari.

Sementara itu, Noraziah berkata, sikap lembut dan tanggungjawab Nasir membuka hatinya untuk bernikah kali kedua, selain mengimpikan ia menjadi pernikahan terakhir buatnya.

Jelasnya, perkenalannya bersama artis terbabit selama setahun selepas mereka dipertemukan adik perempuan Nasir yang juga sahabat baiknya.

"Nasir sangat lemah lembut termasuk dari segi tutur katanya, malah rakan artis juga mengakui sikapnya, begitu. Mungkin ini jodoh saya dan saya terima jodoh ini dengan hati terbuka selepas mendapat restu keluarga kedua-dua pihak," tuturnya.

Untuk makluman, Nasir sebelum ini pernah berkahwin dengan pelakon Suhaina Yahya namun bercerai pada 2011. Hasil perkongsian hidup dengan Suhaina, mereka dikurniakan dua anak iaitu Putera Najmi Ratna Anati dan Isabella Ratna Dewi.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian & Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: