22 June 2019
CATAT REKOD - AZHARINA ADAKAN SIDANG AKHBAR, NYANYI DI AWAN BIRU
Sekitar pukul 9.30 pagi hari ini, penyanyi Azharina telah mengadakan sidang media dan membuat persembahan dalam penerbangan AirAsia di atas ketinggian 38,000 kaki dari aras laut sekali gus mencatat sejarah apabila menjadi artis tempatan pertama memilih lokasi tersebut.
Sidang media Concert Azharina : Queen of Soul itu dibuat dalam penerbangan AK 5106, perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sabah. Azharina atau nama penuhnya Azharina Azhar, 34, berkata, itu impian yang sudah disimpan sejak empat tahun lalu.
"Alhamdulillah, ini peluang yang sangat berharga dan bermakna buat saya sepanjang 20 tahun dalam industri. Tanpa sokongan daripada pihak AirAsia, pasti sidang media ini tidak dapat direalisasikan. Apatah lagi, ini impian yang saya simpan sejak empat tahun lalu. Paling penting, tanpa usaha dan kerja keras penganjur konsert, Atlas One Events, sidang media dan persembahan ini tidak dapat dijayakan," kata Azharina.
Pada sesi yang berlangsung selama 20 minit itu, Azharina yang juga juara Bintang RTM 2001 dan juara program Gegar Vaganza musim ketiga menyanyikan dua lagu iaitu 'Elegi Sepi' dan 'What's Up?' nyanyian 4 Non Blondes. Persembahan secara akustik itu turut diiringi oleh Korie Aminuddin iaitu adik kepada penyanyi, Ella. Azharina turut mengadakan kuiz dan pemenang diberikan dua tiket menyaksikan konsert itu.
Klik untuk gambar besar
Sementara itu, Pengarah Urusan Atlas One Events, Syahrizal Ismail berkata, sesi yang diadakan itu bakal tercatat dalam Malaysia Books of Records: "Jarang sekali sidang media dan persembahan nyanyian berlangsung dalam kapal terbang.
"Bagi saya, ini sesuatu yang cukup unik bagi konsert Azharina sekali gus dapat mendekati peminat dan penumpang yang berada dalam penerbangan. Insya-Allah, pihak kami dalam proses mendapatkan pengiktirafan daripada Malaysia Books of Records kerana menjadi artis pertama membuat persembahan dalam kapal terbang," ujarnya.
Concert Azharina: Queen of Soul bakal berlangsung pada 29 Jun ini di Royale Theatre Shah Alam. Konsert berdurasi dua jam itu bakal menyaksikan Azharina menyanyikan 22 lagu secara solo dan medley membabitkan lagu popularnya dan penyanyi lain.
Berkongsi lanjut mengenai konsert itu, persembahan Azharina bakal diiringi pemuzik orkestra, koir dan pengarah muzik berpengalaman dan turut melibatkan penyanyi luar yang amat dikenali: "Sidang akhbar tersebut adalah sebagai simbolik kepada konsert Queen of Soul yang bakal diadakan di Teater Shah Alam, Selangor pada 29 Jun nanti Sebanyak 22 lagu termasuk lagu medley akan saya bawakan khas untuk semua peminat yang tidak pernah jemu dan sentiasa menyokong kerjaya saya," jelasnya.
www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro, Kosmo & Instagram Azharina
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment