19 June 2019

HUKUMAN DITANGGUHKAN: "INSYA-ALLAH, ALLAH SWT PERMUDAHKAN" - FARID KAMIL


Nampaknya pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari boleh menarik nafas lega apabila dapat menangguhkan pelaksanaan hukuman sembilan bulan yang dikenakan terhadapnya atas tuduhan menggunakan dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC) Januari tahun lalu. Dalam pada itu, Farid berharap agar segala proses terhadap dirinya akan dipermudahkan: "Insya-Allah, Allah SWT Permudahkan".





Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman membenarkan permohonan Farid, 38, yang juga bapa kepada dua cahaya mata itu selaku pemohon dalam prosiding di Mahkamah Tinggi di Shah Alam, hari ini. Farid sudah menjalani hukuman itu di Penjara Kajang selama 35 hari sejak 15 Mei lalu.

Dalam keputusannya itu, Hakim Ab Karim turut memerintahkan pelakon utama filem 'Lagenda Budak Setan' itu membayar jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta pasport diserahkan ke mahkamah sehingga kes selesai. Selain itu, Farid diarahkan melaporkan diri di balai polis berhampiran kediamannya sebulan sekali.

Klik untuk gambar besar


Dalam prosiding itu, adik Farid, Fadzil hadir sebagai penjaminnya manakala isterinya, Datin Diana Danielle tidak kelihatan di galeri awam. Selepas tamat prosiding itu, Farid dibawa keluar oleh polis mahkamah dan beliau dilihat hanya tersenyum apabila pihak media menyoalnya.

Pada 15 Mei lalu, Farid dikenakan hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas kesalahan mengguna dadah jenis THC dan diperintah berada di bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun. Dalam prosiding itu juga, mahkamah tidak membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk penangguhan pelaksanaan hukuman. Berikutan itu, Farid dibawa ke Penjara Kajang dan hukuman penjara berkenaan diperintah bermula tarikh sabitan, iaitu pada hari sama.


www.myartis.com / Sumber & foto: Astro Gempak & Kosmo


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: