09 June 2019

LEGA TAK DI HOSPITAL - A RAHMAN GEMBIRA HAJAT BERAYA DI KAMPUNG DIPENUHI


"Sebenarnya dia risau tidak dibenarkan keluar wad kerana dua hari sebelum hari raya, dia masih perlu menjalani siri ujian darah untuk menentukan penyakitnya. Alhamdulillah, keadaan kesihatannya menunjukkan tanda positif dan dia diberi pelepasan untuk pulang ke rumah. Selepas berhari raya di sini, kami bergerak pula ke Johor untuk mengunjungi satu-satunya ibu saudaranya di Larkin yang juga lokasi wajib suami saya sekeluarga.





"Walaupun tidak cergas seperti dahulu, dia gembira bertemu satu-satunya adik arwah bapanya yang masih ada, selain berjumpa saudara-mara lain," demikian kata pelakon Datin Fadilah Mansor berhubung suaminya, penyanyi popular era 1960-an, Datuk A Rahman Hassan, 72, apabila hajat untuk pulang berhari raya di kampungnya dipenuhi keluarga selepas dibenarkan keluar wad sehari sebelum 1 Syawal.

Fadilah berkata, suaminya tampak gembira dapat meneruskan rutin mengunjungi ibu saudaranya di Larkin, Johor Bahru, Johor, seperti dilakukan setiap kali lebaran. Terdahulu, penyanyi itu dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama lima hari bermula 1 Jun lalu selepas berdepan sesak nafas kronik disebabkan masalah jantung.

Menurut Fadilah lagi, selepas beberapa siri ujian, suaminya yang dijadualkan menjalani pemeriksaan susulan pada 10 Jun ini ini disahkan mengalami masalah paru-paru berair yang mengakibatkan jantungnya menjadi lemah: "Ketika dimasukkan ke wad, kami sangka ia berpunca daripada 'mild stroke', namun ujian mengesahkan paru-parunya berair yang boleh menyebabkan jantung membengkak.

"Sebelum pulang, doktor membekalkan ubat mengeluarkan cecair, malah dia boleh minum satu liter air sahaja sehari. Jadi, saya dan dan anaknya perlu memantau pemakanan serta pengambilan air seperti dinasihatkan doktor. Buat masa ini, kami masih di Johor, tetapi dia berehat sahaja di hotel kerana cepat letih. Biarpun tidak dapat berjalan ke rumah saudara-mara lain, dia tetap gembira dapat balik kampung," jelasnya.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: