11 June 2019

MASUK HOSPITAL LAGI - A RAHMAN ALAMI KOMPLIKASI PARU-PARU & JANTUNG LEMAH


"Kejadian berlaku sangat pantas, kami dalam perjalanan pulang daripada beraya dan singgah di stesen minyak untuk membeli roti. Sebaik sahaja keluar daripada kedai serbaneka di stesen minyak, beliau terus terduduk dan mengalami sesak nafas.





"Sewaktu dalam perjalanan ke hospital, jantung beliau terhenti beberapa saat sebelum ahli paramedik berjaya membuat Pernafasan Resutasi Kardiopulmonari (CPR) dan suami kembali bernafas," kata pelakon Datin Fadhilah Mansor yang memberitahu suaminya, penyanyi tersohor 60-an, Datuk A. Rahman Hassan kini ditempatkan di Unit Pengawasan Rapi (ICU) dan masih ditidurkan oleh doktor kerana keadaan jantungnya yang masih lemah.

A. Rahman dikejarkan ke Hospital Ampang lewat malam Isnin apabila mengalami sesak nafas dan tidak sedarkan diri sewaktu dalam perjalanan pulang beraya di Kepong, semalam. Tambah Fadhilah, pelantun 'Tak Mengapa' itu kini berada dalam keadaan lebih stabil berbanding semalam dan doktor mengesahkan paru-parunya sedikit berair dan terdapat jangkitan kuman.

Sementara itu, anak sulung kepada penyanyi pop yeh yeh terkenal iaitu pelakon Khir Rahman berkata, kira-kira jam 10 malam semalam, bapanya pitam di sebuah stesen minyak di Ampang sebelum diselamatkan serta dihantar ke hospital menaiki ambulans.

Klik untuk gambar besar


"Saya ingin memohon jasa baik tuan-tuan dan puan-puan untuk memanjatkan doa buat ayahanda, Datuk A Rahman Hassan yang kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Ampang. Beliau kini direhatkan untuk rawatan dan pemantauan lanjut pihak hospital.

"Buat masa ini pihak keluarga dimaklumkan bahawa ada komplikasi dengan paru-paru (berair) dan degupan jantung yang tidak konsisten (lemah). Mohon yang terbaik buat abah. Dipermudahkan segala urusan dan ikhtiar buat abah jua. Amin ya rabbal ‘alamin," tuturnya.

Khir yang dihubungi memberitahu, bapanya masih berada di wad ICU dan belum pasti bila dibenarkan pulang: "Apa-apa perkembangan terbarunya, saya akan maklumkan kepada semua. Buat masa ini, dia masih dalam rawatan, tapi Alhamdulillah keadaannya semakin stabil," ujarnya.

Terdahulu, pada 1 Jun lalu, A Rahman, 73, dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 3.30 pagi akibat masalah jantung. Beliau bagaimanapun menafikan mengalami serangan jantung kritikal, sebaliknya doktor memaklumkan badannya kurang rehat dan mengalami tekanan. A Rahman dibenarkan keluar dari HKL dua hari menjelang Aidilfitri.


www.myartis.com / Sumber: Kosmo & Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: