16 June 2019

"TAK PERNAH ABAIKAN MEREKA" - ZAINOL SEDIA BERLAKON LAGI DENGAN ZAHIRAH


"Saya sudah dimaklumkan perkara ini oleh Zahirah yang meminta izin. Namun, saya tidak dibenarkan buka mulut lebih awal kepada media hinggalah majlis itu berlangsung. Tak lupa, saya turut menghantar ucapan tahniah kepada kakak (Zahirah). Sedih, hiba semuanya ada kerana siapa yang tak sayangkan anak.





"Saya memang sayangkan anak dan tak pernah abaikan mereka," demikian kata pelakon Zainol Macwilson yang gembira apabila anak sulungnya yang juga seorang pelakon, Zahirah selamat bertunang dengan pelakon Aiman Hakim Ridza di Perth, Australia, 8 Jun lalu.

Zainol yang tidak dapat menghadiri majlis itu kerana pulang meraikan Aidilfitri di kampung halamannya di Perlis, mendoakan segala yang dirancang berjalan lancar. Berbalik kepada ceritanya pula, Zainol, 61, mengakui jarak tidak pernah memisahkan cintanya terhadap tanahair tercinta.

Biarpun jauh di Australia, Zainol yang merupakan bekas tentera darat British dan polis Sheffield West Yorkshire itu mengakui masih ada beberapa produksi menawarkannya berlakon tetapi perlu mempertimbangkan perkara itu.

Klik untuk gambar besar


"Sudah 11 tahun saya menetap di Australia bagi menguruskan inap desa tetapi apabila ada waktu terluang atau tawaran berlakon, saya pasti balik ke Malaysia. Pertengahan Mac lalu, saya balik sekejap bagi membintangi drama 'Hatiku Di Mana' untuk pasaran Indonesia.

"Selain itu saya juga bertemu keluarga dan ziarah kubur emak di Perlis. Saya turut ambil peluang berjumpa Zahirah untuk melepaskan rindu. Kena juga tengok sama ada berbaloi atau tidak saya terima kalau wataknya ha­nya pelakon sampingan. Seperkara lagi, sekiranya ditawarkan berlakon dengan Zahirah semula, saya pasti akan terima. Kami pernah berlakon dalam drama 'Husin Pening­lah' dan 'Oh Please Speak English' dan kemudian 'Tak Ada Cinta Sepertimu'," jelasnya.

Menurutnya, dia melakonkan watak sebagai ayah Zahirah dalam 'Oh Please Speak English' arahan Rashid Sibir dan 'Tak Ada Cinta Sepertimu' arahan Jamal Khan: "Saya begitu menghayati watak dalam 'Tak Ada Cinta Sepertimu' dan pernah beritahu Jamal agar buat sambungan kerana ramai peminat minta.



"Apabila berlakon dengan anak sendiri, saya dapat menghayati watak dengan baik. Kadangkala saya nak juga beraksi lasak macam filem lakonan Zahirah iaitu 'Bulan Dan Pria Terhebat' arahan Ghaz Abu Bakar. Saya tunggu tawaran Ghaz kerana dia tahu saya teringin sangat berlakon filem genre aksi,"katanya.

Zainol berkata, dia menyedari situasi pelakon tempatan yang semakin kecil peluang apabila berusia: "Saya setuju dengan pendapat Faizal Hussein yang mana pelakon lelaki berusia 40-an hanya akan diberikan watak bapa, datuk dan orang sakit.

"Cuba kita lihat filem luar, ramai pelakon berusia masih berpeluang bawa watak hero. Sebagai contoh Liam Neeson. Kenapa kita tak boleh buat begitu? Kita sebenarnya tak banyak filem aksi. Saya boleh buktikan masih kuat dan sihat. Saya tak merokok, masih boleh berlari dan mampu buat aksi lasak jika diberikan peluang," ujarnya yang mengakui sering menjaga badan dan kesihatan.


www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Zainol Macwilson


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: