08 July 2019
AMBIL MASA DEDAH 2 ANAK HIDAP AUTISME - ISTERI EDRIE HASHIM PUNYAI SEBAB
"Mula-mula saya memang tak boleh terima anak saya adalah autisme. Sebab itu saya sendiri tak pernah sebut apa-apa tentang anak terutama mengenai autisme. Saya juga ada sebab tersendiri selain bimbang sekiranya satu hari nanti mereka pulih, dia akan malu jika orang tahu mereka autisme," demikian jelas isteri kepada pemuzik terkenal Edrie Hashim, 45, iaitu vokalis kumpulan Candy iaitu Patricia Robert.
Pat atau nama sebenarnya Nurul Nadhira Patricia Robert ini mendedahkan pada awalnya dia memilih untuk merahsiakan keadaan kesihatan dua anaknya iaitu Darren haikal, 15, dan Dylan Haidar, 7, yang merupakan penghidap autisme daripada pengetahuan umum.
Pat berkata, dia mengambil masa yang lama sebelum benar-benar bersedia berkongsi mengenai perkembangan membesarkan anak-anak istimewa itu dan mempunyai sebab tersendiri dalam membuat keputusan untuk merahsiakan perkara tersebut.
Bagaimanapun, Pat memberitahu dia mula terbuka hati untuk berkongsi perkembangan kanak-kanak itu selepas berasa bimbang tindakan orang sekeliling yang tidak memahami situasi kesihatan dua anaknya itu: "Mereka nampak seperti orang normal sahaja. Cuma tindakan mereka yang tidak normal membuatkan saya bimbang jika mereka dipukul. Sejak itu, saya dan Edrie terfikir untuk dedahkan keadaan kesihatan mereka kepada umum.
Klik untuk gambar besar
Dalam pada itu, Pat turut memuji ketabahan pelakon Zarina Zainuddin yang sentiasa berkongsi perkembangan dua anak kembarnya yang menghidap autisme menerusi laman sosial. Kata Pat, apa yang dikongsi dramatis itu adalah tindakan yang betul dan memberi pendedahan kepada masyarakat.
"Saya memuji dan kagum dengan tindakan Zarina yang sering berkongsi mengenai anaknya di Instagram. Dia banyak memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai penyakit autisme ini. Bila tengok video dikongsikan Zarina, saya kasihan dan berasa sedih lihat dia dipukul anak sendiri. Saya faham situasi itu kerana saya juga melalui perkara sama," ujarnya.
Untuk makluman, Pat dan Edrie mendirikan rumah tangga pada 9 Februari 2002 dan hasil perkongsian hidup selama 17 tahun itu, mereka dikurniakan dua anak iaitu Darren haikal, 15, dan Dylan Haidar, 7. Sebelum itu, Pat pernah berkahwin dengan James Bayang, 48, namun bercerai pada tahun 1995.
www.myartis.com / Sumber: mStar
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment