07 July 2019

CIK B BERI DUITNYA KEPADA VIDA - AISHAH SAMBUT BAIK PERMOHONAN MAAF


Semua mengetahui mengenai permohonan maaf yang dibuat usahawan yang juga bergelar penyanyi, Datuk Seri Vida (DSV) kepada penyanyi Aishah dalam satu sidang media khas di kediamannya di Ipoh, Perak, yang diadakan semalam. Apa yang mengejutkan, anak perempuan Vida iaitu Cik B atau nama sebenarnya Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, 14, muncul secara tiba-tiba pada sidang media khas tersebut dengan menyerahkan uncang yang berisi wang kepada ibunya itu.





"Mama, Cik tak nak mama guna duit sendiri untuk bayar ganti rugi kepada dia (Aishah). Guna duit Cik B ini. Tak apa, hari ini Cik B beri mama duit... esok pasti ada rezeki lain yang akan datang," kata Cik B yang dipercayai menyerahkan beberapa bungkusan wang berjumlah sehingga RM100,000.

Aishah atau nama penuhnya Wan Aishah Wan Ariffin pada sebuah sidang media menjelaskan Vida yang juga penaja program realiti Gegar Vaganza (GV) itu perlu membayar harga pameran (price tag) barang kemas berjumlah RM80,000 kepadanya pada atau sebelum 17 Julai ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai isu berkenaan, Vida menjelaskan tiada istilah kalah atau menang sebaliknya keputusan itu atas persetujuan bersama: "Sebagai salah satu tuntutan yang perlu saya laksanakan ialah saya mohon maaf secara terbuka kepada Aishah atas representasi salah terhadap barang kemas tambahan pada Gegar Vaganza 4.

"Namun saya jelaskan lagi dalam isu ini tiada yang menang atau pun kalah kerana ia diselesaikan secara persetujuan bersama antara dua pihak," ujar Vida atau nama sebenarnya Datuk Seri Hasmiza Othman yang mengadakan sidang media khas berkaitan isu tuntutan berlian penyanyi lagu 'Janji Manismu' yang telah diselesaikan dengan cara mediasi Isnin lalu.

Klik untuk gambar besar


Sementara itu, Aishah menyambut baik permohonan maaf secara terbuka yang dibuat Vida. Perkara itu satu daripada tiga syarat hasil proses mediasi antara kedua-dua pihak di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Isnin lalu. Aishah berkata, tindakan dibuat Vida itu adalah yang paling mustahak kerana membabitkan integriti.

"Alhamdulillah, saya okey dengan permohonan maaf dibuat. Bagi saya terma ini yang paling mustahak kerana ia membabitkan integriti saya dalam bidang seni. Rasanya peminat faham kenapa saya buat tuntutan ini. Saya tahu ada juga yang memperlekehkan saya seolah-olah saya terdesak. Biarkanlah fitnah mengalir. Banyak pahala saya boleh kumpul di akhirat nanti," ujarnya.

Aishah yang juga juara program Gegar Vaganza musim keempat (GV4) mengingatkan Vida selaku penaja utama program itu di mana esok adalah tarikh akhir pembayaran kos guaman: "Esok tarikh akhir untuk pembayaran kos guaman sebanyak RM7,500. Jumlah itu selepas pihak Vida minta kurang daripada RM20,000.

"Manakala, 17 Julai ini adalah tarikh akhir pembayaran barang kemas berjumlah RM80,000. Barang kemas ikut tanda harga di kedai iaitu jumlah sama. Sekiranya gagal berbuat sedemikian, Vida dianggap menghina mahkamah kerana ingkar perintah mahkamah," jelasnya.






www.myartis.com / Sumber & foto: mStar, Harian Metro, Instagram Datuk Seri Vida & Aishah


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: