20 July 2019
"IBU MANA NAK ANAK BERCERAI... SAYA MENENTANG SEKERASNYA" - IBU FIZO OMAR
Ramai yang terkejut apabila mengetahui berita perceraian pelakon dan pengacara Fizo Omar dan usahawan tudung Fareeda, Mawar Karim dan mula timbul spekulasi punca perceraian berlaku kerana campur tangan keluarga dan gelarannya sebagai anak emak.
Ibu Fizo iaitu Hasnah Jidin, 59, tampil menafikan tuduhan liar itu dan berkata dia menentang sekerasnya keputusan anak dan menantunya itu untuk bercerai dan sentiasa menasihati mereka selesaikan masalah dengan baik. Dengan nada sebak, Hasnah berkata, ibu mana yang mahu melihat anak bercerai-berai dan tidak bahagia.
"Saya terasa apabila dituduh menjadi penyebab perpisahan Fizo dan Mawar. Bukan saya tidak rapat dengan Mawar, malah menjaganya dengan ikhlas ketika dia sakit dan bersalin. Hubungan saya dengan Mawar tidak bermasalah selama ini. Saya tidak mampu melelapkan mata apabila timbul kenyataan seolah-olah saya menjadi penghalang kebahagiaan Fizo dan Mawar. Saya lebih berkecil hati apabila ada yang menuduh keluarga Fizo menumpang kesenangan Mawar.
"Ibu mana yang nak anak bercerai. Saya selalu menasihati Fizo dan Mawar supaya selesaikan masalah dengan baik. Tak nak sampai perlu bercerai-berai. Saya sendiri tak setuju dan menentang keras keputusan mereka bercerai. Saya dan Mawar tak ada masalah dan semuanya okay," tuturnya.
Hasnah mendakwa, dia sering memberikan nasihat kepada Mawar dan Fizo, tetapi tidak pernah mencampuri urusan rumah tangga mereka. Fizo dan Mawar sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, kira-kira jam 10.45 pagi, 10 Julai lalu.
Klik untuk gambar besar
"Saya tidak pernah menghasut Fizo dengan perkara yang bukan-bukan. Saya selalu menasihatkan mereka jika ada masalah timbul. Ketika mereka nak berpisah, saya ada bercakap dari hati ke hati dengan Mawar, tetapi dia tetap mahu berpisah dengan Fizo," katanya.
Hasnah turut menjelaskan, dia tinggal bersama Fizo sejak anaknya itu belum mendirikan rumah tagga dan sepanjang tinggal bersama anak dan menantunya itu, dia tidak pernah menyusahkan kehidupan mereka. Kerap berulang alik ke rumah anak-anak lain juga.
"Saya tak pernah menyusahkan sesiapa dalam rumah itu. Saya ada ramai anak tapi saya lebih selesa tinggal bersama Fizo. Dia yang menjaga saya sejak arwah suami meninggal dan kami sudah berbelas tahun tinggal bersama. Tapi sepanjang enam tahun itu saya bukan duduk di situ sahaja tapi selalu berulang-alik tinggal di rumah anak-anak lain juga," katanya.
Fizo pula berkata, perceraian yang berlaku adalah di atas persetujuan bersama dan tiada campur tangan keluarganya mahupun Mawar. Dalam pada itu, Fizo turut berharap dengan kenyataan ini, netizen berhenti mengaitkan keluarganya dan dia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang pada netizen yang meninggalkan komen melampau.
www.myartis.com / Sumber: mStar & Berita Harian
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment