24 July 2019
KURANG TERIMA TAWARAN BERLAKON - JOHAN AS'ARI AKUR SILAP SENDIRI
"Saya pernah hanyut dan lupa diri apabila mendadak popular. Ia menyebabkan saya gagal mengekalkan momentum, tetapi saya terima semua yang tertulis kerana ia berpunca kesilapan sendiri," kata pelakon Johan As’ari yang mengakui, dirinya berdepan ujian berat apabila langsung tidak menerima tawaran berlakon sepanjang tahun lalu.
Hampir lapan tahun membina nama, pelakon yang melonjak menerusi watak Botak dalam drama dan filem 'Juvana' itu akur, ia berpunca kesilapan sendiri hingga menyebabkan penerbit hilang kepercayaan. Johan berkata, kehilangan ibu tercinta, Datin Firdaus Abdul Kader kerana kanser tulang pada 2015 menjentik hatinya supaya kembali ke landasan sebenar.
"Perlahan-lahan saya berusaha untuk meraih kembali apa yang pernah hilang. Saya tidak kesal dengan apa yang saya lalui kerana semua itu membentuk saya menjadi lebih matang. Alhamdulillah, walaupun rezeki berlakon tidak seperti dahulu, saya masih menerima tawaran untuk membintangi filem.
Klik untuk gambar besar
"Kadang-kadang saya malu dengan Tuhan kerana tidak pernah putus memberikan rezeki, walaupun saya pernah lupa mensyukuri nikmat-Nya," ujar Johan atau nama lengkapnya Johan Ariff As'ari yang baru-baru ini sempat bercuti ke Bali, Indonesia untuk merehatkan minda, sementara menanti pengesahan membintangi sebuah filem aksi.
Beralih kepada soalan peribadi, pelakon yang pernah dijulang sebagai Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2011 itu berkata, dia masih baik dengan kekasihnya yang hanya dikenali sebagai Letty. Johan berkata, mereka masih berhubung menerusi aplikasi WhatsApp dan panggilan video, memandangkan Letty sedang melanjutkan pengajian pada peringkat Doktor Falsafah di United Kingdom.
"Saya memahami dan terbuka dalam hubungan kami kerana Letty juga mempunyai impian yang ingin dicapai. Semuanya berbalik kepada soal jodoh. Seandainya nanti antara kami ditakdirkan bertemu orang lain, kami terima suratan takdir itu," tuturnya.
www.myartis.com / Sumber: Berita Harian
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment