31 July 2019

PUTUS CINTA - SARAH JADI PENYAMPAI MOTIVASI, BANTU SENASIB


"Saya sudah lama berdiam diri dengan harapan isu ini tidak perlu diperbesarkan. Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini banyak fitnah yang bertebaran dan mengacau punca rezeki termasuk disampaikan kepada bakal-bakal klien yang mahu bekerjasama dengan saya.





"Jadi, saya mengambil keputusan untuk membuat pendedahan (di Instagram) supaya kebenaran diberitahu kepada semua. Saya mahu reputasi saya dibersihkan semula," demikian jelas pelakon Sarah Hildebrand yang memberitahu sebab dirinya bertindak mengambil keputusan untuk mendedahkan secara terbuka punca perpisahan dengan bekas kekasih, pengacara Nabil Mahir.

Awal tahun ini, Sarah atau nama penuhnya Nur Sarah Marie Hildebrand telah mengesahkan hubungan cintanya dengan Nabil berakhir selepas lima tahun bersama. Sarah pada mulanya banyak mengunci diri, mengambil pendirian enggan mendedahkan punca perpisahan dan hanya mahu meneruskan kehidupan seperti biasa.

Namun pegangan tersebut nyata roboh apabila Sarah baru-baru ini membuat pengakuan berani mati. Menerusi Instagram, dia berkongsi kecamuk hati dan punca perpisahan disebabkan onar di bekas kekasih. Ditanya adakah dirinya akan bertindak memadamkan status berkenaan? Ini kata Sarah:

"Tidak, saya cuma membuat sedikit pembetulan agar tidak kedengaran terlalu lantang. Ada beberapa perkataan yang agak sensitif, jadi saya tukar supaya lebih lembut dibaca, namun tidak mengubah apa yang saya ingin sampaikan secara keseluruhan.

Klik untuk gambar besar


Berhubung perkara tersebut, Sarah telah ditanya sama ada dia mengalami trauma untuk bercinta lagi dan pelakon drama 'Pujaan Hati Kanda' itu jawab: "Pengalaman mendewasakan namun saya akui, kejadian itu membuatkan saya berdepan masalah yakin diri dan sukar mempercayai orang, terutama berkaitan perasaan".

Turut mengakui pernah mengalami masalah depresi kerana bertahan dalam hubungan yang disifatkan sebagai toksik, wanita berusia 29 tahun menetapkan azam baharu. Dia mahu menjadi penyampai motivasi bagi membantu peminat yang mengalami keadaan serupa dan bersedia dengan segala kecaman.

"Ya (depresi), tetapi bukan disebabkan hal cinta sahaja. Namun saya bersyukur kerana masalah itu tidak teruk dan saya berjaya melawannya. Kerana saya menerima banyak mesej yang memberitahu mereka juga berdepan situasi serupa. Kebanyakan berkaitan emosi dan mental. Memandangkan saya ada platform untuk bercakap tentang hal sebegitu, tiada salahnya untuk saling berkongsi demi kebaikan bersama.

"Masalah begini jarang diperkatakan, namun berlaku dalam masyarakat. Saya cuba mengubah persepsi itu mengikut kemampuan saya. Saya okey sahaja kerana menjadi selebriti, kecaman ibaratnya alah bisa tegal biasa. Apa yang penting saya yakin dan percaya mampu melakukannya.






www.myartis.com / Sumber & foto: Kosmo & Instagram Sarah Hindebrand


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: