21 July 2019

SEMAKIN 'CENGKUNG' - HAFIZ SUIP NAFI KURUS KERANA SAKIT, 'BUATAN'


Tidak melatah dengan pandangan umum, susulan penampilan terbarunya yang semakin 'cengkung' hingga mencetuskan pelbagai andaian, penyanyi Hafiz Suip berkata, tubuhnya semakin kurus bukan disebabkan masalah kesihatan atau berdepan gangguan ilmu hitam, sebaliknya kerana mahu kelihatan lebih segak apabila tampil di skrin televisyen.





"Saya kurus bukan kerana masalah kesihatan, apatah lagi dikaitkan dengan ilmu hitam kerana saya mempunyai alasan tersendiri untuk tampil demikian. Sebagai penghibur, saya perlu menitikberatkan penampilan dan mengekalkan bentuk tubuh supaya sedap mata memandang apabila beraksi di kaca televisyen.

"Kadang kala, saya tidak dapat mentafsir apa sebenarnya yang dimahukan masyarakat kerana ada sahaja yang mereka tidak berpuas hati. Kurus salah, gemuk pun susah dan akhirnya, saya memilih untuk tidak ambil pusing kata-kata orang lagi. Apa yang penting, ia bukan kerana masalah kesihatan atau ilmu hitam.

"Tolonglah hentikan spekulasi. Saya mungkin nampak sebegitu (kurus) disebabkan sudut foto yang mengiring ke tepi. Alhamdulillah setakat ini saya sihat, tak sakit apatah lagi terkena buatan orang," jelas bapa kepada Muhammad Riyadh Zafri yang akan genap dua tahun pada 31 Disember depan.

Klik untuk gambar besar


Selepas lama tidak membuat perkongsian di media sosial, penampilan terbaru Hafiz yang semakin kurus bersama keterangan gambar yang mencetuskan tanda tanya di Instagram mengundang pelbagai reaksi. Tidak hanya peminat, rakan selebriti turut meluahkan kerisauan mereka melihat susuk tubuhnya yang susut, selain kulitnya yang semakin gelap.

Menurut juara Akademi Fantasia 7 (AF7) itu, dia turut menepis tanggapan warganet yang beranggapan rumah tangganya bersama isteri, Nureffy Jasreel Abdullah, 26, goyah: "Keluarga saya bahagia dan isteri amat menyayangi saya. Kami kini sedang menguruskan anak, Muhammad Riyadh Zafri yang berusia setahun lapan bulan".

Kata Hafiz, semua spekulasi itu amat menghiburkan dan ia sekadar perbincangan sesama warganet: "Saya amat menghargai warganet dan peminat kerana mereka masih mengambil tahu perkembangan dan kesihatan saya," tuturnya yang kini berada di Bintulu, Sarawak bagi menjayakan program nyanyian.



Mengenai perkembangan seni katanya, dia bakal muncul dengan single terbaru menerusi duet bersama Siti Adira Suhaimi, 28, atau Adira AF8: "Lagu ini masih dalam proses rakaman dan judulnya belum diberikan," ujar Hafiz atau nam penuhnya Mohd Hafiz Mohd Suip, 29.

Penyanyi yang sedang popular dengan single terbaru, 'Lagu Cinta Kita' itu berkata, jika tidak terikat dengan jadual promosi dan persembahannya, masanya kini terisi dengan aktiviti memancing: "Setiap individu mempunyai minat dan hobi tersendiri.

"Bagi saya, memancing memberikan kepuasan, malah apabila berjauhan dengan keluarga, ia membangkitkan rindu yang membuat hubungan kami semakin erat. Mungkin kedengaran klise bagi sesetengah pihak, tetapi hobi ini banyak mengajar saya supaya lebih sabar. Selain itu, saya juga dapat meneroka banyak tempat menarik dalam negara," kata Hafiz.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian, Harian Metro & Instagram Hafiz Suip


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: