21 July 2019
KONGSI HARI LAHIR SAMA - KODI RASHEED PILIH NAMA ANAK KEDUA, 'SULTAN'
Menerima kehadiran anak kedua yang merupakan lelaki di hari kelahirannya pada 16 Julai lalu, pelakon Kodi Rasheed atau nama sebenarnya, Mohd Shazmeer Mohd Rasheed, 29, yang dikenali menerusi filem 'Ophilia' ini menganggap kehadiran permata hati barunya sebagai hadiah paling bermakna buatnya.
"Alhamdulillah, ini hadiah yang paling istimewa sempena hari jadi saya. Sejujurnya, saya sendiri tak sangka dapat menerima kehadiran anak kedua pada tarikh yang sama dengan ulang tahun kelahiran saya. Pada awalnya, doktor menjangkakan isteri saya akan bersalin pada penghujung Julai. Akhirnya, isteri mengalami tanda-tanda bersalin lebih awal dan selamat melahirkan seorang anak lelaki," ujarnya.
Tambah pelakon filem 'Kau Yang Satu' ini, dia dan isteri memilih nama Sultan untuk diberikan kepada anak mereka: "Saya memilih nama Sultan untuk diberikan kepada anak saya. Saya memilih nama Sultan kerana ia membawa maksud kekuatan, kuasa, khalifah atau pemimpin juga digelar sejarah dalam Islam.
Klik untuk gambar besar
"Selain itu, nama itu dipilih bersempena nama arwah datuk saya, Sultan Afshur. Saya tidak pernah berjumpa dengan datuk kerana dia meninggal dunia sebelum saya lahir tetapi, saya banyak mendengar cerita menarik mengenai arwah. Saya berharap agar Sultan menjadi anak soleh dan dapat menjadi pemimpin di masa akan datang dan berjaya dunia serta akhirat, Insya-Allah," kata Kodi lagi.
Kodi mendirikan rumah tangga dengan Nor Fatihah Mahad pada 31 Ogos 2015 dan sebelum ini, mereka menerima kehadiran seorang anak perempuan, Adinda Qaisara yang kini berusia dua tahun. Dalam perkembangan lain, dua filem lakonan Kodi, 'M4M4' dan 'Master Picisan' bakal menemui penonton pada akhir tahun ini.
www.myartis.com / Sumber & foto: Astro Gempak & Instagram Kodi Rasheed
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment