18 August 2019

AL-FATIHAH - ABE JALI KEMBALI KE RAHMATULLAH


Takziah kami ucapkan kepada keluarga pelakon dan pelawak terkenal dialek Kelantan yang dikenali sebagai Abe Jali atas pemergiannya pada jam 4 pagi tadi. Difahamkan, Abe Jali atau nama sebenarnya Mohd Idris Berahim yang terkenal melalui sitkom 'Salam Pantai Timur' itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 58 tahun di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu.





Sebelum itu, Abe Jali dimasukkan ke hospital pada Jumaat lalu selepas diserang angin ahmar kali kedua. Anaknya, Nur Atiqah Idris, 23, berkata dia berada di Melaka mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ketika dihubungi keluarga yang memaklumkan bapanya sudah meninggal dunia.

"Sepatutnya tiga hari lagi saya pulang ke kampung kerana sedang menduduki peperiksaan akhir semester ketika ini. Setiap kali pulang, ayah sentiasa pesan supaya saya belajar rajin-rajin dan kali terakhir jumpa ayah ketika Aidilfitri lalu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, kakak sulung arwah, Mek Som Berahim, 64, berkata Khamis lalu ketika melawat Abe Jali, arwah kelihatan lemah menyebabkan keluarga mengambil keputusan untuk membawanya ke hospital: "Ketika mahu menyuap dia makan, dia bercakap pun sudah tidak jelas, badan pun nampak tidak bermaya jadi kami bawa ke hospital.

"Tengah malam tadi, arwah lelah sebelum kami memanggil doktor dan sahkan dia meninggal dunia di dalam wad Bendahara," tuturnya yang memberitahu arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Naka, Bekelam selepas waktu asar bagi menunggu ketibaan pulang anaknya dari Melaka.

Sebelum ini akhbar melaporkan, Abe Jali berada dalam keadaan uzur selepas diserang angin ahmar selain menghidap penyakit kencing manis sehingga kaki kanannya dipotong hingga paras lutut Julai tahun lalu. Arwah sebelum ini terkenal sebagai pelakon dan pelawak sitkom dialek Kelantan, Salam Pantai Timur tahun 2007 selain aktif sebagai pengacara majlis dan persembahan dikir barat. Arwah meninggalkan dua anak hasil perkahwinan pertama iaitu Nur Atiqah dan adiknya, Nurul Asyikin, 17.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: