29 August 2019

AL-FATIHAH - PENGARAH FILEM & DRAMA, RAJA ALAUDDIN DIJEMPUT ILAHI


Kira-kira jam 6 pagi hari ini, pengarah filem dan drama, Raja Ahmad Alauddin Raja Mohamed Redzuan, 62, telah menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya. Difahamkan, kematian Allahyarham disedari selepas beliau tidak muncul di tingkat bawah kediamannya untuk diambil pemandu yang sepatutnya membawa arwah ke lokasi penggambaran drama rantaian, Pesan Pada Hati di Sungai Long, Kajang, pagi tadi.





Selepas ketukan di pintu rumah tidak berjawab, kakitangan syarikat produksi, Pena Creative Pictures difahamkan mengambil keputusan membuat laporan polis. Sebaik pihak berkuasa dan bomba berjaya memasuki rumah, Allahyarham dikatakan berbaring di katil, namun sudah tidak lagi bernafas.

Sementara itu, pelakon, Shukri Yahaya berkata, dia tidak menyangka ucapan salam daripada Allahyarham sebaik selesai tugasan di lokasi drama rantaian, Pesan Pada Hati, malam tadi, adalah yang terakhir buat dirinya.

"Sebenarnya, ini kali pertama saya bekerja di bawah arahan Abang Raja. Sejak tiga minggu lalu, sudah menjadi rutin saya bersalam dengannya ketika tiba di set dan sebelum pulang. Babak saya selesai kira-kira jam 7 malam. Saya sempat meminta diri dan bersalam dengan arwah. Macam biasa, dia akan sambut salam sambil tersenyum.

Klik untuk gambar besar


"Pagi tadi, kami seperti biasa sudah berada di lokasi sebelum jam 8 pagi. Pelik apabila arwah belum sampai kerana setiap hari, dia antara individu pertama sampai. Lebih sejam kemudian, barulah kami dimaklumkan Abang Raja sudah tiada. Tak sangka, malam tadi menjadi salam terakhir kami. Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Allahyarham pernah memenangi anugerah Pengarah Terbaik menerusi filem Hati Bukan Kristal. Selain itu, Raja Ahmad Alauddin juga turut mengarahkan filem-filem berjudul 'Kayangan', 'Lurah Dendam' dan 'Qaisy dan Laila'. Drama-drama arahan Allahyarham seperti 'Ariana Rose', 'Fatihah Buatku', 'Curi-Curi Cinta', 'Demi Cinta Ain' dan 'Hanya Di Atas Kertas' bukan sahaja mengusik perasaan penonton, malah meninggalkan banyak pengajaran buat mereka yang telah menontonnya.

Ahmad Alauddin yang juga pensyarah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), pernah dinobatkan Pengarah Terbaik pada Festival Filem Malaysia 9 (FFM9) melalui filem Hati Bukan Kristal. Sama-sama kita sedekahkan Al Fatihah buat Allahyarham Raja Ahmad Alauddin dan doakan agar rohnya ditempatkan di kalangan orang beriman. Amin.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: