30 August 2019

AWIE BERSYUKUR BUKAN SAKIT BARAH, LINTAH KELUAR MELALUI PUSAT


"Sudah banyak kali saya keluar masuk hospital akibat bengkak kaki dan perut, terutama ketika bakal menjayakan konsert besar. Ketika itu, saya dan Wings sudah mengumumkan Konsert Laksamana Metal. Paling teruk adalah tiga hari selepas balik daripada mengerjakan umrah. Perut saya membusung dan belakang saya terasa seperti dicucuk keris.





"Saya tidak boleh duduk atau baring. Doktor maklumkan, saya mempunyai masalah slip disc. Jadi, saya kembali ke hospital untuk menjalani ujian. Di sana, doktor mengesan tiga tompokan dalam perut yang dikhuatiri tanda sel kanser, sebelum sampel dihantar ke Australia.

"Alhamdulillah, pakar di sana mengesahkan ia bukan barah. Saya sendiri pelik apabila tiba-tiba jatuh sakit selepas pulang daripada mengerjakan umrah pada tahun lalu. Perut saya tiba-tiba membusung dan saya ada menjalani hospital kerana ia terlalu sakit. Pada masa itu, saya reda apabila doktor memberitahu saya disyaki menghidap kanser usus.

"Bagaimanapun selepas ujian klinikal kedua selepas sampel dihantar ke makmal perubatan di Melbourne, Australia, doktor kata tiada tanda kanser pada bahagian tersebut. Selain busung ada lagi perkara mistik berlaku dan itu yang menyebabkan saya mengambil keputusan," kata penyanyi Datuk Awie Wings yang reda apabila dikhuatiri mengidap kanser perut hingga perlu menjalani ujian klinikal di sebuah hospital, November tahun lalu.

Awie berkata, semasa proses perubatan bersama seorang Kiai di Indonesia, tiga ekor lintah keluar melalui pusat dan selepas itu sakitnya semakin berkurangan sehingga ke hari ini: "Macam tak percaya kan? Tapi itulah yang berlaku. Saya pun tidak tahulah bila semua ini akan berakhir. Saya cuma berharap agar selepas ini saya kembali sihat dan tidak sakit lagi, kerana saya perlu bersedia untuk konsert solo tahun hadapan".

Tambahnya lagi, dia sering diuji dengan pelbagai masalah kesihatan dan penyakit setiap kali mahu mengadakan konsert berskala besar: "Saya juga terpaksa berulang alik dan keluar masuk ke hospital kerana masalah kaki bengkak menjelang konsert besar sebelum ini," tutur Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 51, yang turut berdoa semoga keadaan kesihatannya juga baik untuk menjayakan konsert Romantika pada 15 Februari tahun depan.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Astro Gempak


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: