19 August 2019

BUKTIKAN 'ANXIETY ATTACK' ITU WUJUB - DIANA DANIELLE ENGGAN SEMBUNYI


"Hanya mereka yang pernah mengalami memahami hal ini. Saya tidak peduli bagaimana rambut, wajah dan cara berpakaian saya ketika ini. Ini adalah kebenaran yang mungkin ramai cuba nafikan atau mendengar ahli keluarga berkata, 'bertenang kerana semua itu tidak benar'. Anda juga tidak tahu mengapa ia terjadi, apakah kerana kita lemah atau mengada-ada?





"Sebenarnya, tidak kerana minda, tubuh dan semua yang ada tidak lagi seperti diri kita yang dahulu. Anda mungkin berfikir akan jadi lebih sekiranya cukup tidur. Tetapi, semua yang berlaku ini di luar jangkaan. Ia bermain dengan emosi dan menyebabkan saya penat. Saya tidak menangis, kecuali jika ia terlalu melukakan. Keresahan ini bermain dengan emosi anda. Dan sekarang saya letih. Tidak dapat bernafas selama beberapa hari ini membuatkan saya rasa takut.

"Dada saya sakit kerana terlalu terbeban untuk bernafas. Saya berkongsi kerana di Malaysia, ia tidak banyak didedahkan dan ini tidak adil. Saya akan bersikap terbuka dan akan mencuba pelbagai solusi yang anda semua cadangkan," demikianlah luah pelakon Datin Diana Danielle yang berkongsi sebuah video dirinya menangis teresak-esak akibat mengalami masalah sukar bernafas dan memaklumkan serangan keresahan bukan suatu perkara yang boleh dibuat main.

Klik untuk gambar besar


Ujar Diana dirinya bukan mahu menunjukkan sisi lemahnya tetapi untuk membuktikan pada dunia bahawa serangan keresahan sememangnya wujud. Sekian lama memendam rasa, isteri kepada pengarah dan pelakon, Datuk Farid Kamil itu terbuka berkongsi mengenai penderitaan yang dialaminya menerusi rakaman video berdurasi 2.51 minit yang dimuatnaik di laman Instagram miliknya dan ia telah mengejutkan ramai.

Menerusi ruangan komen, ada seorang doktor yang tampil memberikan nasihat perubatan. Menurut pegawai perubatan yang dikenali sebagai Dr Man, beliau meminta Diana untuk tidak memaksa pernafasannya: "Alih fokus Diana pada sesuatu perkara yang awak suka, nanti slowly dia akan hilang. Perkara ini berpunca daripada otak kita dikawal oleh minda separa sedar. Jangan tonton filem seram dan jangan sertai sebarang aktiviti yang mengejutkan. Diana kena sibukkan diri dan fokus pada perkara lain," nasihat beliau lagi.



Pelakon filem 'Hanyut' itu berkata, masalah yang dilalui itu membuatkan dia sukar bernafas selama beberapa hari dan ia sangat menakutkan: "Dada saya begitu sesak kerana cuba bertarung untuk bernafas. Saya tidak pernah terfikir untuk membuat rakaman video saya menangis seperti bayi dan dipertontonkan kepada seluruh dunia. Tetapi, itulah realiti. Saya berkongsi kerana tidak adil jika saya terus menyembunyikannya. Saya perlu terbuka dan cuba mencari jalan penyelesaian seperti yang disarankan mereka yang baik hati," katanya.

Ia bermula dengan tanda awal seperti tapak tangan berpeluh, sukar tidur, dada berdebar, kurang rehat dan hilang selera makan: "Sangkakan saya mampu bertahan, namun tiga hari lalu, saya mula mengalami tanda asma apabila dada sesak dan sukar bernafas. Gangguan kebimbangan melampau sangat menyakitkan, malah memberi kesan terhadap kehidupan harian. Saya mungkin kelihatan ceria, tetapi hari ini saya menangis kerana bernafas tidak puas".

Diana turut berterima kasih kepada semua sokongan dan doa yang diterima daripada rakan-rakan selebriti serta netizen. Video tersebut sehingga kini telah menerima lebih 550,000 tontonan. Pada Sabtu lalu, Diana sempat memuatnaik sekeping foto dan sepotong video dirinya berada di hospital sedang menggunakan alat nebuliser untuk masalah pernafasan selepas terkena 'Anxiety Attack' dan memberitahu dia berdepan gangguan itu sejak dua minggu lalu.


www.myartis.com / Sumber: Astro Gempak, Berita Harian & Instagram Diana Danielle


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: