31 August 2019

IDENTITI KEKASIH - SHERRY IBRAHIM PERKENALKAN BILA IKATAN SUDAH PASTI


"Selagi belum ada apa-apa ikatan pasti, rasanya tidak perlu saya hebahkan identiti jejaka itu. Tunggulah apabila tiba masanya nanti, pasti saya akan perkenalkan kepada umum. Apa yang dapat saya katakan, dia cuma orang biasa dan bukan kenamaan seperti andaian ramai. Kami sudah lama berkawan, tetapi pernah terputus hubungan.





"Apabila bertemu semula, timbul keinginan untuk mengenali lebih dekat antara satu sama lain. Dia sangat penyabar dan memahami kerjaya saya," demikian kata pelakon Sherry Ibrahim yang mengambil pendekatan untuk tidak terlalu terbuka berkongsi kisah peribadi selagi dia dan teman lelakinya belum ada ikatan pasti.

Sherry, 36, berkata pengalaman lalu mengajarnya supaya tidak terlalu ghairah bercerita perancangan masa depan, apatah lagi jejaka itu bukan dalam kalangan penggiat industri hiburan. Pelakon 'Bahagia Bukan Bidaan' itu berkata, dia dan kekasihnya juga belum bertemu keluarga masing-masing, biarpun sudah maklum mengenai hubungan mereka.

Klik untuk gambar besar


"Saya elakkan daripada membabitkan keluarga terlalu awal kerana tidak mahu mereka sedih jika hubungan ini tidak kesampaian. Jika segala-galanya berjalan lancar, biarlah kedua-dua keluarga bertemu mengikut adat. Banyak pihak menasihatkan saya supaya terus bernikah dan tidak perlu bertunang.

"Nantilah, perkara itu belum saya fikirkan. Saya tidak mahu terlalu merancang, sebaliknya menyerahkan segala-galanya kepada Allah. Insya-Allah, apabila cukup duit dan sudah yakin untuk membawa hubungan ke fasa lebih serius, kami tidak akan bertangguh melakukan perkara yang baik," jelasnya.

Sherry yang turut mengusahakan perniagaan salun berkata, ketika ini, dia perlu memberikan sepenuh tumpuan kepada bisnes yang baru dibuka: "Saya ada menerima tawaran berlakon telefilem, tetapi terpaksa ditolak untuk memantau perjalanan perniagaan. Lagipun, ia masih baharu dan saya perlu memastikan segala-galanya lancar. Apabila sudah stabil, baru saya bersedia kembali berlakon".


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian & Instagram Sherry Ibrahim


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: