30 August 2019

SHIMA GEMBIRA DAPAT RUMAH PPR, KURANG BEBANAN


Meluahkan rasa gembira apabila mendapat surat tawaran menduduki Projek Perumahan Rakyat (PPR) bersama suaminya iaitu Abdullah Rosli, 42, penyanyi popular era 90-an, Shima atau nama penuhnya Ku Nazhatul Shima Kamarazzaman, 50, berkata, tawaran yang diterima itu dapat mengurangkan beban ekoran beberapa masalah dihadapinya sebelum ini.





Mengulas mengenai penyerahan kunci rumah terbabit, Shima berkata, ia memberi sinar baharu buat dirinya, apatah lagi unit sewaan pada kadar RM255 sebulan itu adalah pada aras paling bawah yang tidak memerlukannya menggunakan tangga. Seperti penyewa lain dalam program sama, penyanyi itu tidak boleh culas membayar sewa rumah selama dua tahun sebelum dipertimbangkan untuk membeli unit diduduki pada harga RM190,000.

"Saya sangat gembira apabila menerima tawaran rumah ini kerana bukan semudah itu untuk mendapatkannya. Biarlah orang nak cakap rumah itu rumah murah ke, apa ke... Asalkan ada tempat untuk kami berteduh. Rumah yang saya sewa sekarang memberi bebanan kerana perlu membayar sewa berjumlah RM600 sebulan. Itu belum termasuk lagi kos bil-bil yang perlu dibayar. Insya-Allah, saya dan suami mampu untuk membayarnya setiap bulan.

"Saya sangat bernasib baik apabila pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) juga banyak membantu dari segi bantuan makanan, ubat-ubatan dan juga wang bulanan. Alhamdulillah, proses ini dipermudahkan dan saya rasa sangat bertuah. Ada yang kena menunggu bertahun-tahun. Walaupun belum tahu jumlah wang deposit, saya sangat bersyukur. Kalau boleh, kami mahu segera berpindah, tetapi sebelum itu kena cukupkan dahulu wang deposit. Tambahan pula, kami juga perlu membayar lori untuk memindahkan barang," katanya.

Klik untuk gambar besar


Shima ditemui usai majlis penyerahan surat tawaran program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2 di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Putrajaya sebentar tadi. Turut hadir bersama Shima ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin serta Pengerusi Yayasan Kebajikan Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave.

Penyanyi yang popular dengan lagu 'Teringin' itu menderita sakit saraf serta sakit belakang dan terbaru, menghidap sakit lemah pundi kencing. Dalam pada itu, tidak hanya dugaan Warung Teringin terpaksa ditutup sejak Mac lalu, Shima atau nama sebenarnya Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman mendedahkan satu persatu kucingnya mati akibat ilmu hitam.

"Benda seperti sihir ini kita tidak boleh cakap ia tidak wujud. Saya masih berubat sehingga sekarang kerana keadaan kesihatan saya makin teruk. Kucing saya dalam keadaan sihat tiba-tiba mati satu persatu. Saya sendiri berasa hairan sehingga membawanya ke klinik haiwan. Sekarang ini, kucing saya hanya tinggal tiga ekor sahaja selepas enam yang mati. Kucing ini sebenarnya menjadi perisai untuk kita daripada terkena ilmu hitam," tambahnya lagi yang pernah terkenal dengan rangkaian lagu seperti 'Di Sebalik Sejuta Wajah', 'Setelah Aku Kau Miliki', 'Luka Dilukai' dan 'Malam Yang Pasrah'.

Pada Julai lalu, Shima yang dikategorikan sebagai golongan asnaf oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS), menyuarakan hasrat mendapatkan rumah PPR kerana tidak lagi mampu membayar sewa pangsapuri sebanyak RM600 sebulan. Shima menghidap pelbagai penyakit, termasuk saraf tulang belakang tersepit, yang membataskan pergerakan selain masalah pundi kencing. Suaminya pula turut berhadapan penyakit serupa hingga tidak dapat bekerja mahu pun melakukan tugasan berat disebabkan impak kemalangan, beberapa tahun lalu.


www.myartis.com / Sumber: Astro Gempak & Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: