23 August 2019

LAKONAN BISU DIKRITIK, DIBANDINGKAN - MIRA FILZAH AKUI TAK TERTEKAN


Menyedari lakonannya sebagai orang kelainan upaya (OKU) iaitu watak bisu dibandingkan dengan lakonan pelakon dan penerbit Sheila Rusly menerusi drama 'Pia', pelakon Mira Filzah mengakui kelemahan itu dan berkata watak tersebut yang dilakonkannya dalam drama 'Sweet Dreams' merupakan sebahagian proses untuk dia memperbaiki mutu lakonan.





"Orang (penonton) memang akan terus membuat perbandingan tapi bagi saya pelakon (Sheila) memang hebat... itu kita tak boleh sangkal! Pengalaman kami pun jauh berbeza dan sekarang ini saya masih dalam proses belajar dan memperbaiki cara lakonan. Dari sudut positif, lebih ramai orang alert dan ikut belajar bahasa isyarat, saya sendiri sebelum ini tak tahu dunia mereka, selepas dapat tunjuk ajar, saya mula belajar satu perkara baru," kata Mira.

Sebelum ini, lakonan Mira sebagai gadis bisu menerima kritikan penonton yang berpendapat pelakon itu sepatutnya mempelajari lebih banyak bahasa isyarat supaya watak Putri yang dilakonkan olehnya kelihatan lenbih realistik seperti dilakukan oleh Sheila Rusly dalam drama 'Pia'.

Enggan membiarkan kritikan-kritikan itu menghantui dirinya, Mira mengambil pendekatan untuk mengawal emosi agar dirinya tidak tertekan: "Saya tidak tertekan dengan pelbagai kritikan yang dilemparkan warganet. Mereka bebas berkata apa sahaja dan semua itu di luar kawalan saya.

Klik untuk gambar besar


"Boleh sahaja saya membidas semula setiap kecaman yang dilemparkan, tetapi untuk apa? Sebagai selebriti, saya perlu bijak mengawal emosi dan tidak menggunakan media sosial untuk menonjolkan pengaruh tidak baik," ujarnya.

Seiring populariti yang diraih, Mira atau nama lengkapnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 26, akur ada harga yang perlu dibayar apabila berada pada tahap itu:"Pasti ada yang senang, tidak kurang yang cuba mencari dan mencungkil kelemahan serta kesilapan kita. Serangan itu semakin berleluasa sejak kebelakangan ini. Setiap orang mahu memberikan pendapat dan menegakkan pandangan mereka.

"Saya bagaimanapun, tidak mahu terlalu memikirkan pandangan orang lain, terutama mereka yang hanya mencari kelemahan dan kesilapan. Apa yang lebih penting adalah menjaga hati dan perasaan kedua-dua orang tua. Mereka sentiasa memerhati setiap pergerakan dan tindak-tanduk saya. Itu yang saya jaga kerana tidak mahu perbuatan saya mengguris perasaan mereka," tuturnya.



Bagaimanapun, Mira memberitahu pihak produksi sudah menyediakan guru untuk melatih dan mengajarnya menggunakan bahasa isyarat. Ditanya mengenai gandingannya bersama Ben Amir, Mira berkata aktor tersebut pada awalnya seorang yang pemalu.

Namun, dia berjaya mencipta hubungan melalui komunikasi di set penggambaran dibantu dengan sokongan pengarah iaitu Michael Ang mewujudkan keserasian antara mereka: "Sebenarnya Ben sangat pemalu, saya kena mulakan dahulu perbualan sebab kalau tak... sampai ke sudahlah tak bercakap.

"Michael juga banyak membantu. Dia menjaga semua benda dengan begitu terperinci sehingga semuanya jadi bagus. Bagi saya untuk wujudkan chemistry, komunikasi itu paling penting untuk setiap pelakon. Alhamdulillah drama ini menerima sambutan penonton dan trending setiap hari," ujarnya.


www.myartis.com / Sumber & foto: mStar, Berita Harian & Instagram Mira Filzah


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: